Polis Perak keluarkan 169 kompaun ingkar SOP PKP - Utusan Malaysia

Polis Perak keluarkan 169 kompaun ingkar SOP PKP

MIOR FARIDALATHRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengeluarkan 169 kompaun membabitkan individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, jumlah kompaun itu dikeluarkan dalam tempoh tiga hari PKP dikuat kuasa bermula Jumaat lalu sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh tersebut juga, pemantauan pihaknya mendapati peratusan pematuhan orang ramai terhadap SOP PKP di negeri ini adalah sebanyak 97 peratus.

“Objektif pemantauan yang kita lakukan adalah untuk memastikan pemilik premis perniagaan dan individu mematuhi SOP yang dikeluarkan selain sebagai peringatan untuk mereka terus mengamalkan norma baharu.

“Jadi, bagi mereka yang secara sengaja ingkar PKP, pihak polis tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun di atas kegagalan mematuhi SOP kerana sikap itu secara tidak langsung turut membahayakan diri orang lain,” katanya dalam sesi wawancara bersama stesen radio Perak FM di sini hari ini.

Menurut beliau, 576 kompaun ingkar SOP turut dikeluarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Perak bermula 13 hingga 21 Januari lalu dengan pematuhan SOP sebanyak 96 peratus.

“Semasa PKPB kita telah laksanakan sebanyak 16 sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri Perak bagi mengelakkan orang ramai bebas keluar masuk ke negeri ini.

“Bagi tujuan PKP pula, SJR telah ditambah kepada 53 melibatkan sempadan negeri dan daerah dengan kekuatan seramai 1,822 pegawai dan anggota yang bertugas setiap hari,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, polis Perak telah berjaya menurunkan kadar indeks jenayah keseluruhan sebanyak 1,523 kes bersamaan 31 peratus pada tahun lalu.

Katanya, penurunan itu menerusi jenayah harta benda yang turun sebanyak 1,212 kes bersamaan 31.8 peratus manakala jenayah kekerasan pula turun dengan 311 kes atau 28.2 peratus berbanding tahun 2019.

“Saya juga amat bangga kerana semua daerah di negeri ini mencatatkan penurunan dengan tiga daerah mencatatkan penurunan paling tinggi iaitu Kampar, Ipoh dan Muallim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya