PKP atau PKPD? -

PKP atau PKPD?

RAKYAT mahu pemimpin politik memberi tumpuan kepada usaha melawan Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pilihan wajar dipertimbangkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing dengan peningkatan kes positif harian dan pertambahan kluster-kluster baharu.

Pertubuhan dan pakar kesihatan melihat dua penyelesaian terbaik adalah melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan zon merah Covid-19 seperti dilaksanakan kembali di beberapa negara lain.

Antara negara melaksanakan kawalan pergerakan semula bagi melandaikan lekuk selepas peningkatan mendadak jangkitan kes Covid-19 adalah Jepun yang mengisytiharkan darurat dan England pula perintah berkurung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kesihatan, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan semula PKP berikutan taburan kes yang semakin meningkat sekali gus menunjukkan kegagalan membendung penularan Covid-19.

“Kalau kita tengok jumlah serta taburan kes ketika ini, memang tiada jalan lain boleh diambil selain melaksanakan PKP semula. Kerajaan harus mengetatkan beberapa syarat termasuk penutupan sempadan setiap negeri.

“Penutupan sepenuhnya bagi negeri-negeri yang mempunyai jumlah kes tinggi manakala sedikit kelonggaran kepada negeri yang masih terkawal, namun rentas negeri tidak boleh dibenarkan,” katanya.

Semalam, kematian tertinggi direkodkan akibat Covid-19 iaitu 16 kes manakala kes harian pula sebanyak 2,643 dan pertambahan enam kluster baharu. Sehari sebelum itu, kes positif harian mencatatkan rekod tertinggi dengan 3,027 kes.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, kerajaan perlu memperketat pergerakan antara daerah dan negeri dengan melaksanakan PKPD di kawasan zon merah Covid-19.

Beliau berkata, ketika keadaan negara dan rakyat dalam proses pemulihan ekonomi selepas terjejas teruk sebelum ini, pelaksanaan semula PKP bukan penyelesaian terbaik.

Katanya, ‘vaksin’ terbaik adalah mengawal pergerakan rakyat terutama di zon-zon merah Covid-19 dan mengenakan kompaun kepada individu ingkar prosedur operasi standard (SOP).

“Rakyat kini berasa begitu selesa konon beranggapan orang lain positif Covid-19, bukan mereka. Sebab itu, walaupun berada di zon-zon merah, mereka bebas bergerak biarpun ada yang bergejala.

“Belum pun keputusan keluar selepas ujian Covid-19 dibuat, rakyat bebas bergerak ke mana sahaja, pulang ke kampung dan bertemu saudara-mara.

“Ini yang berlaku sekarang, jadi Perdim berpandangan kerajaan perlu melaksanakan PKPD di zon-zon merah supaya dapat mengawal pergerakan rakyat terutama yang bergejala di kawasan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan pelaksanaan PKP adalah pendekatan terbaik dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Untuk kembali melaksanakan PKP semula belum sesuai lagi buat masa ini, tetapi kerajaan perlu bertegas dalam melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan rakyat patuh,” katanya.

Dalam pada itu, pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengalaman sudah tentu mematangkan kerajaan dalam menguruskan negara terutama dalam meminimumkan pengurangan peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika PKP dilaksanakan semula.

“Kerajaan berjaya menguruskan ekonomi pada suku ketiga dan keempat tahun lalu dan situasi ekonomi telah dibaiki. Kerajaan pasti sudah mampu mengimbangi pembangunan ekonomi namun pemulihan ekonomi negara pada tahun 2021 yang dijangkakan antara 6.5 ke 7.5 peratus mungkin sukar dicapai.

“Perlu diingat sekiranya kes Covid-19 terus meningkat pada kadar sekarang yang perlu kita fokuskan adalah survival rakyat, bukan lagi untuk mencapai sasaran KDNK 6.5 peratus,” katanya.

Dalam sidang akhbar harian semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas Isnin ini bagi memaklumkan tindakan-tindakan yang diambil kerajaan mengambil kira situasi semasa penularan jangkitan Covid-19. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya