Pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura cermin kelemahan pentadbiran kerajaan PN - Utusan Malaysia

Pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura cermin kelemahan pentadbiran kerajaan PN

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembatalan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mencerminkan kelemahan pentadbiran dan keupayaan membuat keputusan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia kini kehilangan peluang untuk merapatkan hubungan antara dua bandar metropolis itu yang merupakan enjin ekonomi utama Asia Tenggara.

Katanya, kerajaan kelihatan seperti tidak tahu apa manfaat daripada projek dan kerjasama tersebut dengan memaparkan pendirian ‘flip flop’.

“Kerajaan PN ketika ini memaparkan komitmen dan kesungguhan yang sentiasa berubah-ubah dan saling bercanggahan, sama seperti kerajaan Pakatan Harapan. 

“Buktinya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini beberapa kali memberitahu projek itu akan diteruskan namun baru-baru ini sebaliknya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengumumkan pembatalan projek berkenaan kerana tiada kata putus dapat dicapai antara kedua-dua negara terlibat yang turut menyaksikan Malaysia perlu membayar pampasan dianggarkan berjumlah RM300 juta kepada Singapura.

Sebelum itu, Malaysia turut perlu membayar pampasan sebanyak RM45 juta kepada Singapura kerana menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan.

Mohamed Khaled yang juga merupakan bekas Menteri Besar berkata, akibat sikap tidak konsisten itu, projek HSR yang sepatutnya mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa ketidakpastian.

“Kerajaan PN juga dilihat kurang memahami analisis kos-faedah jangka masa panjang projek HSR yang mana peningkatan kesalinghubungan antara Malaysia dan Singapura akan menghasilkan limpahan manfaat daripada segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, persekitaran perniagaan, daya tarikan pelaburan serta lonjakan pelancongan yang melangkaui kos infrastruktur tersebut.

“Selain pembangunan sosioekonomi sepanjang jajaran projek HSR, projek ini akan melonjakkan usaha merancakkan pertumbuhan Wilayah Selatan Negara, untuk mentransformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, analisis simulasi penyelidik Institute of Developing Economies Jepun mendedahkan kesan ekonomi HSR untuk Malaysia dalam gabungan dasar terbaik adalah USD 1.589 bilion (RM6.38 bilion) setiap tahun menjelang 2030, hampir 2.5 kali ganda kesan ekonomi terhadap Singapura. 

“Jadi mengapakah projek ‘game changer’ yang sepatutnya memartabatkan ekonomi negara dipolitikkan dan cuba diubah sehingga akhirnya dibatalkan?

“Adakah projek infrastruktur lain yang mendatangkan pelbagai limpahan faedah kepada rakyat Malaysia akan menanggung nasib yang sama dalam tangan kerajaan PN?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya