'Bom jangka' kawasan pendakian negara

‘Bom jangka’ kawasan pendakian negara

PEGAWAI penyelidik UNITEN melakukan pemetaan tanah runtuh bagi penyediaan peta bertema dan insurans tanah runtuh di laluan pendakian Cameron Highland-Gua Musang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Struktur tanah dan cerun di sesetengah laluan pendakian, khususnya di kawasan geologi sensitif perlu diberi perhatian kerana hujan lebat berterusan dan bentuk muka bumi boleh mempengaruhi kestabilan serta meningkatkan risiko geobencana.

Faktor fenomena cuaca ekstrem, hakisan tanah berterusan serta limpahan beban pendaki (overtourism) kini menjadi ‘bom jangka’ yang sedia meletup pada bila-bila masa jika langkah pengetatan kawalan aktiviti rekreasi lasak tidak dikuatkuasakan dengan tegas.

Ancaman itu sejajar dengan data pemetaan risiko geobencana negara yang mendapati terdapat kira-kira 2,966 kilometer (km) persegi kawasan berisiko tanah runtuh di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daripada jumlah tersebut, data Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesan 31 kawasan hotspot serta memantau 254 cerun kritikal, dengan 104 daripadanya diklasifikasikan berisiko tinggi meliputi pelbagai zon pelancongan tanah tinggi dan kawasan rekreasi hutan simpan.

Pengarah Institut Infrastruktur Tenaga, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Profesor Madya P. Geol Gs. Dr. Rohayu Che Omar berkata, angka itu membuktikan kawasan pergunungan dan laluan pendakian negara mempunyai keadaan geologi serta geomorfologi tropika yang amat kompleks.

Beliau berkata, proses luluhawa tropika yang berlaku secara intensif akibat suhu dan taburan hujan yang tinggi telah menghasilkan lapisan tanah baki (residu) dengan pelbagai tahap ketebalan, tekstur, keliangan dan kekuatan yang berbeza mengikut jenis batuan induk.

“Di kawasan berbukit dan bercerun curam, keadaan ini meningkatkan kecenderungan berlakunya hakisan dan kegagalan cerun, khususnya apabila air hujan meresap masuk ke dalam tanah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas daripada sudut geomorfologi, Dr. Rohayu berkata, kebanyakan denai pendakian melalui cerun curam, rabung, lurah dan sistem saliran semula jadi yang boleh menumpukan aliran air serta meningkatkan hakisan dan ketepuan tanah ketika hujan lebat.

Beliau turut menarik perhatian tentang kewujudan kesan tanah runtuh lama yang berpotensi untuk diaktifkan semula jika terdedah kepada faktor pencetus yang sesuai.

“Kajian di lokasi seperti Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Kundasang membuktikan pentingnya memahami sejarah geomorfologi tanah runtuh sebelum menilai tahap kestabilan sesuatu kawasan tanah tinggi.

“Apabila cuaca ekstrem dan hujan lebat berterusan berlaku, kandungan serta tekanan air dalam tanah terluluhawa akan meningkat lalu mengurangkan kekuatan tanah. Keadaan ini boleh memicu gelinciran tanah cetek, runtuhan batu mahupun tanah runtuh yang lebih besar,” jelasnya.

Di samping ancaman cuaca, beliau turut mendapati peningkatan jumlah pendaki yang pesat turut memberi tekanan fizikal yang ketara kepada persekitaran denai.

“Pada masa yang sama, fenomena pelancongan berlebihan (overtourism) turut memberi tekanan fizikal yang ketara kepada persekitaran denai. Penggunaan denai secara berulang kali menyebabkan tanah menjadi padat, daya serapan air terganggu, litupan tumbuhan rosak serta akar terdedah yang mempercepat kadar hakisan.

“Gandingan kerosakan denai, kecuraman cerun dan curahan hujan lebat akhirnya memburukkan lagi keadaan fizikal laluan dan membahayakan keselamatan para pendaki,” katanya.

Dr. Rohayu menegaskan, pengetatan kawalan aktiviti pendakian perlu dilaksanakan sebagai strategi pengurusan risiko geobencana berasaskan data geologi, geomorfologi, cuaca, kapasiti laluan dan tahap kestabilan cerun.

Langkah itu katanya, merangkumi pelaksanaan sistem pembukaan berfasa mengikut penilaian risiko semasa, pemantauan data pergerakan tanah secara berterusan, penutupan laluan secara tegas apabila disahkan tidak selamat serta penyelenggaraan berkala ke atas kemudahan keselamatan dan struktur cerun.

Beliau menegaskan bahawa, gunung perlu dihormati kerana keadaan cuaca dan geologinya boleh berubah tanpa diduga.

“Pendaki perlu memahami kawasan dengan merujuk portal geobencana contohnya, menyemak cuaca, mematuhi permit, menggunakan laluan dibenarkan dan bersedia berpatah balik apabila keadaan tidak selamat.

“Pihak berkuasa pula perlu membuat keputusan berasaskan data, sains dan penilaian risiko agar aktiviti pendakian kekal selamat, terkawal dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang malim gunung, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, kawasan pendakian yang dikenal pasti berisiko tinggi runtuhan tanah dan geobencana wajar ditutup lebih awal kepada orang awam bagi mengelakkan tragedi tidak dijangka, sekali gus melindungi nyawa pendaki.

Beliau yang juga pendaki berkata, langkah itu penting kerana faktor persekitaran dan cuaca yang tidak menentu boleh mencetuskan kejadian bencana secara tiba-tiba, terutama di laluan curam dan tanah tinggi yang mudah terdedah kepada hakisan serta kegagalan cerun.

“Pendaki juga perlu lu lebih peka terhadap keadaan cuaca dan faktor keselamatan sebelum memulakan aktiviti mendaki. Jika laluan didapati tidak selamat, mereka dinasihatkan menghentikan pendakian dan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa seperti jabatan hutan, polis serta agensi berkaitan.

“Sekiranya cuaca tidak menentu, aktiviti pendakian perlu dihentikan sementara sehingga keadaan kembali pulih dan disahkan selamat. Tindakan ini bukan sahaja melindungi pendaki, malah mengelakkan operasi menyelamat yang berisiko tinggi dan memakan masa panjang,” katanya yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, dekat sini.

Beliau dalam pada itu berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan hutan disaran sentiasa memaklumkan status keselamatan laluan pendakian kepada orang awam.

“Keperluan seperti pos kawalan, pondok perlindungan sementara dan pondok keselamatan perlu diwujudkan di lokasi strategik bagi memastikan pemantauan berterusan.

“Kemudahan itu juga boleh menempatkan pegawai bertugas untuk memberi panduan dan maklumat tepat kepada pendaki, sekali gus meningkatkan keyakinan pelancong terhadap sektor rekreasi serta pelancongan tanah tinggi negara,” katanya.

Menurutnya yang berpengalaman mendaki lebih 10 gunung dalam luar negara menegaskan, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana setiap laluan pendakian membawa risiko tersendiri yang boleh berubah sekelip mata.

Justeru, katanya, pendaki perlu mengutamakan disiplin diri, mematuhi garis panduan rasmi dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa sebelum dan semasa aktiviti dijalankan.

“Gunung bukan sekadar destinasi rekreasi, tetapi medan ujian ketahanan fizikal dan mental. Tanpa persediaan rapi serta kesedaran terhadap faktor geologi dan cuaca, pendakian boleh bertukar menjadi tragedi. Keselamatan mesti menjadi keutamaan mutlak, mendahului segala bentuk cabaran dan keseronokan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini