Pecah amanah RM6.6b: Perbicaraan mungkin tertangguh - Utusan Malaysia

Pecah amanah RM6.6b: Perbicaraan mungkin tertangguh

NAJIB Razak ketika keluar dari dewan mahkamah selepas sebutan kes pecah amanah dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan enam pertuduhan pecah amanah dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion yang ditetapkan September ini berkemungkinan akan tertangguh.

Ia selepas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin bahawa perbicaraan kes penyelewenagan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengambil masa lama.

Sebelum ini, hakim berkenaan menetapkan tarikh perbicaraan selama 32 hari sepanjang September dan Oktober 2021 kecuali Jumaat. Pihak pendakwaan dijangka akan memanggil kira-kira 50 orang saksi.

“Buat masa ini, tarikh-tarikh yang ditetapkan masih sesuai. Bagaimanapun, jika kes 1MDB melangkaui tarikh yang ditetapkan sebelum ini berkemungkinan akan mengambil tarikh bagi kes ini (pecah amanah).

“Pada ketika ini, saya baharu menyoal balas saksi pendakwaan ke-10 dan pendakwaan dijangka akan memanggil keseluruhannya 60 orang saksi,” ujar peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan dan pengurusan kes bagi Muhammad Shafee memaklumkan perkembangan terkini kes 1MDB.

Pada prosiding hari ini, Hakim Muhammad Jamil juga membenarkan permohonan peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan Serigar pada tarikh tersebut kerana tertuduh kedua itu akan menghadapi peperiksaan bagi kursus undang-undang yang diambil beliau di sebuah kolej swasta.

Pada 24 Oktober 2018, Najib, 68, dan Mohd. Irwan Serigar, 64, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah apabila kes itu disebut di Mahkamah Sesyen.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia telah melakukan pecah amanah terhadap wang RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd. Irwan juga didakwa atas kapasiti sama telah melakukan pecah amanah harta sejumlah RM655 juta milik kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta yang merupakan peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB).

Kedua-dua mereka juga dituduh secara bersama, atas jawatan yang sama, melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka dituduh bersama atas jawatan serupa, melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd. Irwan Serigar dituduh melakukan perbuatan itu di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017 di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya