MEF harap sektor ekonomi tak tutup - Utusan Malaysia

MEF harap sektor ekonomi tak tutup

Ramai berharap ada khabar gembira pengumuman Bajet 2022 espk. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan tidak sesekali mengambil langkah menutup hampir semua sektor ekonomi walaupun kes jangkitan Covid-19 berterusan tinggi untuk beberapa minggu akan datang.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara, malah menyukarkan kehidupan rakyat yang mungkin kehilangan sumber pendapatan.

Menurut beliau, syarikat-syarikat yang tidak mampu bertahan dalam tempoh itu juga dikhuatiri ditutup, sekali gus menyebabkan lebih ramai pekerja diberhentikan kerja.

“Jika lihat apa yang berlaku pada 2020 ketika kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac, kemudian dilanjutkan kepada PKP Bersyarat (PKPB), keadaan ekonomi masa itu menjunam teruk sehingga -17 peratus pada Jun tahun tersebut.

“Jika dilaksanakan (PKP dan penutupan ekonomi lebih besar) seperti itu, saya percaya jangkaan bahawa ekonomi meningkat 6.5 hingga 7.5 peratus (tahun ini) adalah sukar dicapai,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, sepucuk surat daripada Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) kepada ahli-ahlinya yang berlegar-legar di media sosial mendakwa Malaysia bercadang melaksanakan penutupan ekonomi atau kawalan pergerakan lebih ketat selepas 4 Februari ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 tidak berjaya dikurangkan.

Menurut Eurocham Malaysia, perkara tersebut antara intipati mesyuarat antara badan itu dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 22 Januari lalu.

Sementara itu, Ketua Setiausaha MITI iaitu Datuk Lokman Hakim pula didakwa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyatakan pendirian jelas berhubung penutupan sektor ekonomi tersebut apabila mendapati 99 daripada 300 kluster jangkitan mempunyai kaitan dengan sektor pembuatan dan mereka percaya bahawa sektor tersebut adalah sumber utama jangkitan.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, ekonomi tetapi perlu berjalan kerana kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan kesihatan dengan kehidupan rakyat.

Beliau kemudian menyarankan supaya pekerja lebih berhati-hati dan tidak melawat kawasan-kawasan yang sesak terutamanya selepas waktu kerja agar jangkitan Covid-19 dapat dikawal.

“Kluster tempat kerja ini juga agak mengelirukan kerana ada dalam kalangan pekerja mendapat jangkitan di luar tempat kerja, tetapi buat ujian di tempat kerja. Jadi, mereka dikategorikan dalam kluster tempat kerja.

“Saya percaya majikan telah menjaga prosedur operasi standard dan sebagainya,” katanya.
Beliau memberitahu, sekiranya PKP berlanjutan terlalu lama, syarikat-syarikat mungkin mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari sama seperti PKP sebelum ini.
Sebelum ini, Shamsuddin menyarankan supaya kerajaan membenarkan semua syarikat beroperasi semula tetapi dengan syarat lebih ketat.
Sementara itu, dalam kenyataan akhbarnya lewat petang semalam, Eurocham menjelaskan tidak ada sebarang kenyataan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bahawa penutupan ekonomi akan dilaksanakan selepas 4 Februari.
Bagaimanapun, Eurocham tidak menafikan kementerian tersebut menyatakan kebimbangan tentang keadaan yang semakin mendesak akibat peningkatan kes jangkitan Covid-19 ketika ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN