TEHERAN: Kementerian Minyak Iran pada Sabtu memaklumkan bahawa negara itu berjaya menjual minyak bernilai keseluruhan AS$18 bilion (RM74 bilion) sepanjang tempoh perang dan gencatan senjata yang menyusul dengan Amerika Syarikat (AS).
“Kementerian menjual minyak bernilai AS$11.5 bilion (RM47 bilion) ketika perang dan AS$6.5 bilion (RM27 bilion) sepanjang tempoh gencatan senjata yang runtuh pada awal bulan ini, menurut kenyataan kementerian yang disiarkan di laman web rasminya.
Menurut kementerian itu, jumlah tersebut meliputi lebih 60 peratus daripada hasil minyak yang diunjurkan dalam belanjawan tahunan, walaupun negara berdepan krisis.
Bagaimanapun, pada akhir Jun lalu, Speaker Parlimen Iran yang juga ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, Iran tidak dapat mengeksport sebarang minyak sepanjang sekatan AS ke atas pelabuhan-pelabuhannya.
Serangan AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari mencetuskan perang, sekali gus mendorong Teheran melancarkan serangan balas terhadap sekutu Washington di rantau tersebut.
Gencatan senjata yang dicapai pada April sebahagian besarnya menamatkan pertempuran.
Namun, permusuhan kembali tercetus pada awal Julai apabila kedua-dua musuh itu terus bertelagah untuk menguasai Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang amat penting. – AFP










