Kawalan rentas negeri, SOP lebih ketat - Utusan Malaysia

Kawalan rentas negeri, SOP lebih ketat

ADHAM Baba (kanan) menerima replika kunci daripada Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu. sebagai simbolik Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah HSA di Johor Bahru, Johor hari ini. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kawalan pergerakan rentas negeri dan daerah antara cadangan yang dikemukakan Kementerian Kesihatan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah untuk melandaikan semula lekuk penularan Covid-19.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba yang memaklumkan kes jangkitan sporadik akibat aktiviti rentas negeri dan daerah dikesan menjadi menyumbang kepada peningkatan kes secara mendadak.

Menurut beliau, berdasarkan data kumulatif terkini, kes sporadik iaitu jangkitan dalam kalangan komuniti mencatatkan angka 50 peratus di samping kes-kes positif melibatkan bukan warganegara.

“Kementerian bukan sekadar melihat trend dalam negara tetapi juga kepada senario luar negara yang mendapati jangkitan Covid-19 menular secara pantas termasuk di England dan Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.

“Justeru, kita sudah memberi cadangan untuk menghadkan pergerakan rentas daerah dan negeri kerana kes-kes jangkitan kebelakangan ini terjadi kerana aktiviti itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.

Tambah Adham, pihaknya juga menasihatkan MKN supaya memperketatkan prosedur standard operasi (SOP) sedia ada serta penguatkuasaan yang lebih tersusun dan rapi agar dapat mengawal jangkitan kes baharu Covid-19.

Menyentuh berkenaan jangkitan sporadik, Dr. Adham berkata, Kementerian Kesihatan mendapati terdapat unsur-unsur ketidakpatuhan SOP semasa pembukaan semula sektor ekonomi di seluruh negara yang menyumbang kepada peningkatan kes.

“Terdapat juga kes jangkitan dalam kalangan komuniti berlaku ketika orang ramai menyertai majlis sosial seperti perhimpunan atau berkumpul dalam jumlah yang ramai.

“Malah, kes-kes tersebut juga meningkat di kawasan padat penduduk dengan pergerakan yang mudah termasuk di Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Pulau Pinang dan Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Adham berkata, fasiliti kesihatan masih mampu menampung peningkatan kes namun kaedah ketat dalam melandaikan lengkuk Covid-19 perlu dilaksanakan segera sebelum keupayaan berkenaan tidak lagi mampu disediakan. 

“Petugas perubatan yang kendalikan kes Covid-19 bergejala kini sedang bertungkus lumus menghadapi peningkatan mendadak kes, disamping melihat juga pasukan jururawat dan pembantu perubatan yang perlu merawat pesakit termasuk bukan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.