Kehadiran Covid-19 sememangnya tidak dijangka bahkan pada mulanya ia dilihat sebagai wabak seperti SARS dan H1N1 yang ‘melintasi’ sesebuah negara, kemudian hilang begitu sahaja. Namun, kehadiran Covid-19 mula memberikan kesan bukan sahaja kepada sumber ekonomi negara bahkan konsep pembangunan manusia berkaitan pendidikan.
Tindakan kerajaan mengurangkan penyebaran wabak melalui pelaksanaan penjarakan fizikal menyebabkan institusi pendidikan terpaksa menghentikan seketika pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan digantikan secara jarak jauh atau dalam talian. Melalui serangan virus ini juga, perisai pembangunan manusia yang dibina sebelum ini kelihatan semakin goyah. Muncul persoalan penting, bagaimana untuk melindungi hasil yang dicapai melalui pembangunan manusia sebelum ini tanpa harus memulai dari awal?
Ketidaksamarataan akses teknologi
Ketidaksamarataan akses kepada teknologi dalam masyarakat memberikan kesan kepada keupayaan mereka untuk memerangi Covid-19. Ketidaksamarataan ini menyebabkan pengalaman menggunakan teknologi adalah berbeza khususnya dalam pendidikan. Sepanjang pandemik melanda, lebih 100 negara terpaksa menutup sekolah dan institusi pendidikan. Penutupan ini melibatkan lebih 1.4 bilion pelajar yang terpaksa bergelut untuk mendapatkan pendidikan terbaik.
Apabila sekolah ditutup, pembelajaran secara dalam talian adalah alternatif untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Walaupun begitu, kualiti pembelajaran di rumah bukan sahaja bergantung kepada keupayaan internet, ia juga membabitkan keterlibatan ibu bapa dan inisiatif pelajar sendiri. Jika tiga elemen ini tiada, kualiti pendidikan sukar untuk dijamin dan pengalaman pembelajaran bermakna sukar dicapai.
Cuba bayangkan, bagaimana pelajar yang berada di kawasan yang sukar untuk mendapat capaian internet? Mereka mengalami kesulitan untuk mengikuti kelas secara dalam talian dan ada yang terpaksa berkongsi telefon dan komputer dengan adik-beradik lain kerana masing-masing perlu belajar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Jika situasi sebegini tidak diberikan perhatian serius dan tiada langkah intervensi dilakukan, kita akan menyaksikan lebih ramai murid sekolah dan pelajar universiti tercicir dalam pelajaran. Justeru, konsep pembangunan manusia perlu difikirkan semula. Adakah melalui akses teknologi yang tidak sama rata atau terlalu bergantung kepada teknologi semata-mata, Falsafah Pendidikan Negara boleh dihayati dan diterjemahkan ke dalam sistem pendidikan negara? Adakah acuan pembangunan manusia pada hari ini perlu dirombak dan difikirkan semula? Persoalan ini perlu difikirkan kerana ia adalah tanggungjawab bersama untuk membangunkan generasi hari ini bagi kepentingan masa depan mereka.
Adab dan etika
Selain ketidaksamarataan akses kepada teknologi, isu adab dan etika menggunakan teknologi juga perlu diberikan perhatian. Jika di dalam bilik darjah atau bilik kuliah, pelajar perlu menjaga adab ketika bersama guru atau pensyarah, pembelajaran secara dalam talian juga perlu diikuti dengan penuh adab dan etika. Kehadiran Covid-19 menyebabkan ‘sentuhan’ secara fizikal tidak lagi dirasai oleh pelajar apabila pembelajaran sepenuhnya dijalankan secara dalam talian. Isu adab dan etika menjadi keluhan guru dan pensyarah apabila ada pelajar mengambil kesempatan untuk tidur, tidak memberikan perhatian dan bermain permainan komputer ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung.
Walaupun situasi ini juga berlaku dalam kelas yang dijalankan secara fizikal, peranan yang dimainkan oleh pendidik melalui interaksi secara bersemuka mampu untuk mengawal tabiat buruk sedemikian. Selain ‘culas’ ketika sesi pembelajaran berlangsung, isu plagiat semasa menjawab soalan peperiksaan secara dalam talian dan membuat tugasan juga antara cabaran yang perlu diatasi pensyarah. Inilah antara isu yang perlu difikirkan dan diberikan sentuhan ta’dib (pendidikan adab berteraskan konsep ilmu dan amal untuk membina sahsiah, akhlak dan jiwa) agar proses pembangunan manusia tidak diabaikan.
Proses ta’dib sukar untuk dilaksanakan apabila teknologi mengambil alih sepenuhnya ‘sentuhan fizikal’ guru dan pensyarah. Tanpa proses ini, pembinaan insan sejahtera agak sukar untuk dilaksanakan kerana kecemerlangan sesuatu umat bergantung kepada ketamadunan adab dan akhlak umat tersebut.
Persoalannya, apakah cara terbaik untuk kita memastikan proses ta’dib dapat dilaksanakan dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik yang sangat mencabar? Sejauh manakah ta’dib dapat dilaksanakan melalui penggunaan teknologi? Apakah peranan pendidik dalam memastikan pelajar menjaga adab dan etika ketika sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian? Inilah antara persoalan yang perlu difikirkan bersama bagi memastikan pembangunan manusia adalah seimbang dan menyeluruh.
Taman ilmu dan budi
Konsep pembangunan manusia perlulah seiring dengan perkembangan semasa. Jika teknologi menjadi asas kepada sistem komunikasi manusia, isu kesamarataan, adab dan etika perlu diberikan perhatian. Kita tidak mahu menghasilkan graduan berperwatakan seperti robot melalui ‘kilang universiti’ yang dibangunkan tetapi kita ingin menghasilkan graduan seimbang dari segala aspek melalui ‘taman ilmu dan budi’ yang sentiasa cakna dengan arus perkembangan semasa. Kerangka yang jelas dan berpaksikan agama adalah penting bagi memastikan insan seimbang dan soleh dapat dihasilkan.
DR. Mohd. Azrul Azlen Abd. Hamid ialah Dekan, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh.










