GEORGETOWN: Sekumpulan ibu bapa kepada murid-murid sekolah rendah di negeri ini meluahkan rasa kecewa apabila tiada sesi pertama Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sepatutnya bermula pagi semalam.
Rata-rata mereka meluahkan rasa hampa setelah mendakwa ada dalam kalangan guru hanya berkongsi video menerusi saluran Youtube dan meminta murid memahami serta belajar melalui platform berkenaan.
Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Harlina, 42, berkata, anaknya yang belajar di tahun dua menunggu sejak awal pagi sebelum sesi kelas secara dalam talian bermula pukul 9 pagi.
“Anak saya sangat teruja untuk menyertai sesi pembelajaran kali pertama selepas cuti panjang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Bayan Lepas November lalu.
“Bagaimanapun, guru kelas memaklumkan mengenai ketiadaan PdPR menerusi WhatsApp kumpulan sebelum enam minit kelas sepatutnya bermula dan meminta murid-muridnya menonton video sebagai pengenalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Harlina memberitahu, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan kaedah PdPR diperkenalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang lagi waris, Isa Ahmad, 38, berkata, sekiranya tindakan seumpama itu berlarutan, perkembangan sosial dan semangat anak-anak untuk belajar akan mulai luntur.
“Sepatutnya pagi ini (semalam) diadakan sesi bersemuka antara guru dan anak murid secara online tetapi tidak seperti yang dijangkakan. Mereka teruja mahu melihat guru baharu apabila naik kelas pada tahun ini.
“Kami memahami situasi yang dialami guru-guru dalam mendepani kaedah pembelajaran PdPR, namun ia perlu diperhalusi demi masa depan kanak-kanak,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia berharap pihak berwajib khususnya Jabatan Pendidikan negeri dapat melihat isu itu dan memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan. -UTUSAN ONLINE










