Covid-19: Pergerakan pekerja faktor kes mendadak di Johor - Utusan Malaysia

Covid-19: Pergerakan pekerja faktor kes mendadak di Johor

R. VIDYANANTHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pergerakan pekerja industri ke zon merah di luar negeri ini dikenal pasti antara punca Johor sekali lagi mencatat rekod tertinggi kes positif Covid-19 membabitkan sebanyak 1,103 kes baharu yang dikesan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,043 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, jumlah kes yang tinggi dan mendadak adalah susulan saringan sukarela yang dijalankan oleh pihak majikan kepada pekerja warga asing bermula Disember lalu.

“Berdasarkan siasatan di lapangan, Jabatan Kesihatan mendapati punca utama pengenalan kes baharu dalam kalangan pekerja industri disebabkan pergerakan mereka ke zon merah di luar negeri Johor serta ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang diperkenalkan.

“Sebaik sahaja Jabatan Kesihatan mengenal pasti lokasi industri yang melaporkan kes positif tinggi, tempat tinggal mereka (asrama) diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal penularan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Vidyananthan berkata, penempatan warga asing yang tidak mematuhi SOP, sentiasa sesak dan sempit juga didapati menyumbang kepada penularan yang cepat dalam kalangan mereka.

Katanya, terdapat tiga asrama pekerja asing yang diletakkan di bawah PKPD iaitu Asrama Westlite Johor Bahru, Asrama Westlite 1 dan Westlite 2 di Kulai serta Asrama Kejora Juara, Bukit Pasir di daerah Muar.

Menurutnya, terdapat satu kluster baharu yang dilaporkan iaitu Kluster Senai Murni juga adala kluster tempat kerja melibatkan daerah Kulai.

“Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 31 Disember lalu melalui saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga semalam, seramai 190 individu disaring yang mana 66 daripadanya dikesan positif Covid-19.

“Ini menjadikan kumulatif kluster aktif di negeri ini sebanyak 36 antaranya ialah Kluster Firma (mukim Bandar), Kluster Persiaran Teknologi (mukim Kulai), Kluster Bersepadu (mukim Pengerang), Kluster Jalan Padu (mukim Tebrau), Kluster Parit Jamil (mukim Parit Jawa),” katanya.

Antara kluster yang masih aktif ialah Kluster Belati (mukim Tebrau), Kluster Rengit Sentral (mukim Pengerang), Kluster Wawasan Gading (mukim Simpang Kanan), Kluster Harum (mukim Plentong) dan Kluster Dewani (mukim Tebrau).

Katanya, kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini adalah sebanyak 9,002 kes dengan 3,751 daripadanya pulih manakala sebanyak 5,212 kes yang aktif telah pun diasingkan dan diberi rawatan di hospital dengan kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 39 kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya