Beri peluang profesor kemuka idea - Utusan Malaysia

Beri peluang profesor kemuka idea

Prof. Dr. Rosna Awang Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegagalan melahirkan profesor unggul seperti Allahyarham Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid antaranya berpunca mereka tidak diberikan ruang dan peluang dalam membuat dasar di peringkat nasional untuk kemaslahatan negara dan rakyat.

Keadaan ini didorong lagi beberapa senario dihadapi profesor tanah air apabila kajian yang dijalankan ada kemungkinan ditolak hanya disebabkan hasil dapatan tidak selari dengan keinginan kerajaan.

Selain itu, terdapat ramai kalangan profesor yang menyumbang idea secara berpasukan tanpa mahu menonjolkan individu tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Setiausaha Agung Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, adalah lebih baik kerajaan memberikan peluang tersebut kerana setiap idea yang tercetus daripada kotak pemikiran mereka adalah hasil daripada bukti dan kajian empirikal dan bukannya bersandarkan kepada emosi dan persepsi semata-mata.

Menurut beliau, walaupun ada ketikanya kerajaan bergantung kepada idea kalangan profesor terutama di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) namun hakikatnya tetap berlaku penolakan kepada sesetengah profesor kerana tidak sealiran dengan polisi kerajaan.

“Kadang-kadang mereka (kementerian) tidak dapat menerima mengenai sesuatu isu. Kesannya, profesor tidak dipanggil atau idea mereka tidak diketengahkan disebabkan dapatan kajian tidak menyokong polisi kementerian.

“Seharusnya, keputusan kena berdasarkan fakta dan bukti dan inilah yang dilakukan oleh profesor. Kalaulah negara ini sentiasa mengambil kira fakta empirikal dan kajian mendalam dalam membuat keputusan, maka profesor akan sentiasa menjadi lebih relevan.

“Setiap kali tampuk pemerintahan bertukar, maka polisi negara pun bertukar. Kenapa tidak mendengar sahaja nasihat pakar? Sebab itu perlunya ruang perdebatan agar semua pihak mendapat satu konklusi kepada permasalahan yang ada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Rosna berkata demikian ketika mengulas punca negara tidak mampu menghasilkan ikon profesor seperti Ungku Aziz yang menjadi perintis idea penubuhan Tabung Haji dan Pengarah Pengasas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain Ungku Aziz, beberapa profesor tersohor tanah air termasuklah mendiang Tan Sri Khoo Kay Kim dan Prof Syed Husin Alatas.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Tun Dr. Arshad mendedahkan kualiti lebih 2,500 profesor negara ini tidak mencapai standard yang diharapkan. Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) itu berkata, dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor, diharapkan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, Rosna berkata, negara ini harus bersikap terbuka dan menerima kepelbagaian pemikiran sebelum membuat sesuatu keputusan.

” Ini kerana, adalah sukar untuk mencapai aspirasi negara jika kerajaan hanya mendengar sebelah pihak dan menafikan idea-idea bernas kalangan profesor.

“Kerajaan harus mempercayai dan menjalinkan hubungan dengan mana-mana pakar dalam bidang masing-masing dan bukannya menumpukan perhatian kepada yang hanya pandai bercakap tetapi tidak berasaskan bukti dan kajian formal,” katanya.

Senada dengan Rosna, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran pula berkata, profesor harus mengenengahkan penemuan dan inovasi terhadap kajian mereka agar seluruh masyarakat dan negara sedar akan sumbangan mereka dalam bidang ilmiah kerana ketika ini, segelintir daripada mereka belum menguar-uarkan idea masing-masing kepada umum.

“Saya menyarankan semua profesor meningkat kesedaran masyarakat terhadap sumbangan mereka agar dapat difahami dan diaplikasi. Sesetengah penemuan itu kadang-kadang sukar difahami jadi adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan segala bentuk inovasi disimpulkan sebagai memberi manfaat kepada masyarakat.

“Mungkin perkara ini sukar untuk direalisasikan kerana penggunaan bahasa semasa kajian sangat kompleks. Selain itu, Profesor jangan ‘terkurung’ dalam satu kepompong sahaja, mereka perlu keluar dari skala itu agar penemuan kajian mereka memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Profesor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dr. Ahmad Sazali Hamzah pula berkata, negara boleh melahirkan ramai profesor unggul, cuma kena ‘pick up’ bidang mana yang rasanya patut diberikan perhatian kepada negara.

Menurut beliau, rangkaian bersama orang-orang yang hebat di luar negara juga harus kuat dan jika beliau seorang ahli akademik yang lebih kepada menyelesaikan masalah masyarakat, mungkin beliau boleh mendapat penghargaan dari negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×