Ben Ali kini miliki kilang, perniagaan kek - Utusan Malaysia

Ben Ali kini miliki kilang, perniagaan kek

BEN Ali dan isteri, Nadiyah Shahab membangunkan perniagaan dengan usaha dan komitmen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKANLAH dia membenci atau sudah tawar hati dengan dunia lakonan, tetapi hajatnya untuk membina masa depan yang lebih baik menerusi bidang perniagaan ternyata suatu percaturan yang dilihat sangat berbaloi.

Masakan tidak, daripada seorang pelakon, Ben Ali, 30, kini mengukir nama dalam bidang perniagaan yang mana pada awalnya dilakukan secara kecil-kecilan sahaja menerusi jenama Absolut Chocolat Sdn. Bhd.

Ternyata rezeki lebih menyebelahi dirinya untuk bergelar seorang usahawan. Kini dia mampu mengukir senyuman lebar tatkala menatap sebuah bangunan kilang yang terletak di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor.

“Saya sendiri pun tidak menyangka, dari sebuah pondok rehat yang terletak di perumahan awam Sri Sabah, Cheras, jenama ini kini sudah berdiri megah dengan adanya kilang sendiri.

“Berkeluasan 14,000 kaki persegi, kilang itu selain menjalankan operasi perniagaan Absolut Chocolat, turut menjadi penggerak buat dua lagi jenama lain iaitu Absolut Food Festival dan Absolut Talent & Management di bawah kendalian saya,” katanya.

Tentu sekali, kejayaan itu tidak akan datang bergolek dan menurut Ben, dia juga sama seperti orang lain, bertatih-tatih dahulu sebelum sampai pada kedudukan sekarang.

“Saya mengemudi perniagaan ini bersama isteri, Nadiyah Shahab dan dia juga tahu bagaimana susah payahnya kami mahu membangunkan jenama ini sehingga dikenali sekarang.

“Ada suka dan dukanya tetapi semua itu kami anggap sebagai kenangan dan pengalaman berharga.

“Bayangkan di pondok rehat perumahan awam itu, segala operasi dan urusan dilaksanakan. Di situlah kami membungkus kek ke dalam kotak berserta sos. Sukar dibayangkan memori itu, namun betullah kata orang, rezeki tak pernah salah alamat.

“Pendek kata macam-macam kerja saya dan isteri buat. Malah kami pada awalnya pernah melakukan khidmat penghantaran dan turun padang bertemu pelanggan,” katanya.

Kongsi Ben atau nama sebenarnya, Nurali Nadzwan, selepas dua tiga hari ‘menumpang’ di pondok berkenaan, mereka kemudiannya berpindah ke sebuah khemah menjual air kelapa yang juga terletak di Cheras.

“Selepas dua tiga minggu menumpang di khemah itu, kami menyewa pula suku lot berdekatan LRT Cheras.

“Dalam tahun 2018, memang kami kerap ‘berpindah randah’ dari satu tempat ke tempat lain. Kemudian kami bertukar ke Medan Connaught Cheras hujung tahun sama. Kami menyewa satu lot premis yang dibahagi pada dua bahagian.

“Apabila perniagaan semakin berkembang kami menyewa pula satu lagi lot di bahagian bawah bangunan sama. Ketika itu lot atas dijadikan ruang pejabat dan bawah pula urusan kerja,” katanya.

Ben Ali bersama isteri, Nadiyah Shahab.

 

TETAP JALAN WALAU PANDEMIK

Menurut Ben, dia bersyukur perniagaan mereka yang berasaskan produk makanan dan jualan dalam talian masih ‘bernafas’ walaupun dunia dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Kongsi pelakon ini lagi, dia perlu melakukan sesuatu demi meneruskan nadi perniagaan kerana merasa sayang jika segala usaha yang dibuat selama ini terbengkalai begitu sahaja hanya kerana mahu menyerah dengan keadaan semasa.

“Kami hantar ke rumah dan pembeli hanya menempah dalam talian untuk menikmati apa yang ditawarkan. Harga jualan kek kami juga masih kekal sekitar RM69 ke RM79.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu juga kami telah menambah tiga lot kedai.

“Dengan izin Allah SWT, alhamdulillah kami juga dapat membeli van pertama pada tahun 2019 dan kemudiannya dipermudahkan pula urusan pembelian lori baru-baru ini,”katanya.

Tidak mahu terus berada di zon selesa, kata Ben, dia mahu sentiasa terbuka dan mencabar diri bereksprimen dengan benda baharu dalam usaha untuk kekal relevan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Kritikan dan cemuhan itu sudah dianggap lumrah dan bagi Ben, dari satu sudut, ada juga kebaikan daripada keburukan sesuatu kritikan yang hadir.

“Macam idea pertama kami membuat kek telur masin yang pertama di Malaysia, ia juga awalnya menimbulkan reaksi negatif. Ada yang tak boleh menerimanya dan menganggap sebagai pelik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN