Bemban bakal ditandingi calon UMNO - Utusan Malaysia

Bemban bakal ditandingi calon UMNO

HASAN Rahman (dua dari kanan) menghunuskan keris sebagai simbolik merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka. - UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: UMNO Bahagian Jasin menyokong usul kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban yang sebelum ini ditandingi MCA diletakkan calon UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, pihaknya akan mempertahan usaha itu bagi memastikan Bemban ditandingi calon UMNO dalam usaha merampas kembali kerusi itu yang dimenangi oleh PKR pada PRU-14.

“Saya ingin maklumkan ada berita baik yang akan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tidak lama lagi berhubung kedudukan DUN Bemban yang akan ditandingi oleh calon dari UMNO.

“Jika ini terjadi, kita akan pastikan kesemua lima kerusi DUN iaitu Serkam, Rim, Merlimau, Sungai Rambai dan Bemban terus menjadi milik penuh Barisan Nasional (BN) pada PRU-15,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Yang hadir sama bekas Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Ahmad Hamzah; bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ghazale Muhamad; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Roslan Ahmad dan Naibnya, Datuk Zaidi Attan.

Kerusi DUN Bemban yang sebelum ini dikenali DUN Ayer Panas pertama kali dipertandingkan dalam PRU bermula  2004 sehingga 2018 dengan kesemuanya ditandingi wakil daripada MCA.

Tiga daripada mereka memenangi kerusi itu iaitu Chong Tam On (2004-2008), Chua Kheng Hwa (2008-2013) dan Ng Choon Koon (2013-2018). 

Bagaimanapun pada PRU-14 lalu calon MCA, Datuk Koh Chin Han tewas kepada Dr. Wong Fort Pin dari PKR.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai berkata, Melaka akan kembali diperintah oleh BN dalam PRU-15, jika Jasin berjaya memenangi lima kerusi DUN diikuti Masjid Tanah juga lima kerusi, tiga di Tangga Batu selain tambahan beberapa kerusi di Alor Gajah dan Hang Tuah Jaya.

“Tidak mustahil BN merampas kembali tampuk pemerintahan Melaka yang terlepas pada PRU-14 kerana yang penting semua ahli UMNO perlu bersatu hati dan memastikan hasrat kita untuk melihat UMNO dan BN kembali memerintah menjadi kenyataan,” ujarnya.

Beliau menambah, persiapan jentera pilihan raya di Jasin berjalan lancar dan sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya