PETALING JAYA: Sebanyak 29.3 peratus atau sepanjang 39,895 kilometer (km) daripada 135,975 km keseluruhan paip di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sudah berusia melebihi 25 tahun.
Kesemua paip jenis Asbestos Cement (AC) yang usang itu berisiko untuk pecah jika tidak digantikan selain meningkatkan kehilangan air bersih dan terawat atau air tiada hasil (NRW).
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer) S. Piarapakaran bagaimanapun berkata, kegagalan penggantian paip berusia itu dikhuatiri meningkatkan kekerapan kebocoran paip.
Katanya, perkara itu boleh menyebabkan gangguan bekalan air tidak terjadual, kekurangan tekanan air sistem bekalan air serta risiko kontaminasi bendasing di dalam paip.
Malah, katanya, masalah kenderaan berat melebihi muatan dan melalui jalan-jalan yang tidak sesuai untuk ambil beban yang tinggi juga boleh mempercepatkan kerosakan pada paip-paip berkenaan.
“Nilai NRW untuk Semenanjung Malaysia dan Labuan ketika ini adalah 5,389 juta liter air sehari bagi tahun 2022 iaitu 34.4 peratus daripada air terawat ini hilang dalam sistem dan masalah paling tinggi adalah disebabkan oleh kebocoran.
“Perlis, Kedah dan Kelantan mempunyai NRW lebih daripada 50 peratus bagi tahun 2022,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Piarapakaran berkata, pihaknya menyarankan pasukan petugas khas pengurangan NRW diaktifkan semula dengan ahli-ahli yang boleh membantu bagi melaksanakan pelan tindakan pengurangan NRW dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih ketat ke atas syarikat-syarikat air.
Katanya, pelaksanaan pelan tindakan yang disediakan pasukan yang ditubuhkan pada 2012 terlibat dalam banyak birokrasi selain kebanyakan negeri turut lewat menstruktur semula seiring Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara (PSIPAN).
“Dengan kenaikan tarif air baru-baru ini serta peruntukkan tahunan kerajaan persekutuan serta pinjaman daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), semua alasan-alasan lapuk tidak patut diulang untuk menjustifikasi nilai NRW yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat memaklumkan, kerja-kerja penggantian paip adalah di bawah tanggungjawab operator air.
“Berdasarkan permohonan operator air, sejumlah RM2.2 bilion diluluskan di bawah pembiayaan PAAB kepada negeri-negeri yang telah menyertai Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air mulai 2010 hingga Disember 2023,” jelas kementerian.
Lapor Petra, sepanjang 3,618 km paip jenis AC di Pahang atau 23.5 peratus daripada keseluruhan panjang paip masih belum ditukar.
Kesemua paip itu berusia lebih 25 tahun dan menjadi penyumbang utama peningkatan kadar NRW di Pahang.









