Ahmad Zahid perlu jujur

Ahmad Zahid perlu jujur

SITI SOKHLEHA NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pergerakan Puteri UMNO mahukan semua pihak menghentikan segala tindakan membuka aib sesama sendiri demi menjaga maruah parti.

Exco Pergerakan Puteri UMNO, Siti Sokhleha Nordin berkata, sikap pemimpin yang ‘bergaduh sedangkan duduk dalam satu rumah’ hanya merugikan dan menjadikan segala penat lelah ahli dan pemimpin akar umbi yang be­kerja siang malam demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO, sia-sia.

Namun, dalam masa yang sama, beliau meminta pemim­pin tertinggi termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya bersikap jujur dengan memberikan penjelasan terhadap segala dakwaan agar tidak timbul syak wasangka dan spekulasi sehingga ada pihak yang menangguk di air keruh.

“Kami pemimpin muda perlukan kenyataan balas yang berani oleh Presiden. Ketika iklim politik negara tidak menentu, kami berharap pemimpin parti di semua peringkat mengetepikan kepentingan peribadi, sebaliknya meletakkan keutamaan untuk kepentingan bangsa, agama dan rakyat di hadapan.

“Ketika tempoh sukar ini, semua pihak wajar ikat perut sendiri daripada diterjah oleh nafsu yang ganas. Inilah nama­nya pengorbanan politik semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beberapa kepemimpinan akar umbi UMNO mendesak Ahmad Zahid berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat, sekali gus memberi ruang serta peluang kepada ge­nerasi baharu menggalas tanggungjawab itu.

Apatah lagi Ahmad Zahid berdepan dengan dakwaan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang masih belum dinafikan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sehingga hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pe­nerangan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Robiah Abd. Rani berkata, sebagai pemimpin mewakili orang muda, kepemimpinan tertinggi parti perlu sedar rakyat terutama golongan muda sudah muak dengan permainan politik sekarang.

Justeru, beliau menyeru semua pemimpin parti agar tidak sekali-kali mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan dahulu sehingga rakyat menghukum sekali gus parti tumbang buat pertama kali selepas 60 tahun mentadbir negara.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Bintang berkata, tindakan mana-mana pihak mendesak Presiden untuk berundur hanya akan memperlihatkan kelemahan parti dan tidak ada maruah, sebaliknya gunakan platform pemilihan parti untuk menukar kepemimpinan baharu.

“UMNO dilatih untuk menjaga kebajikan rakyat, itu tidak dapat dinafikan, tetapi persepsi juga perlu dijaga.

“UMNO bukan untuk individu, jadi adalah lebih baik berilah peluang kepada muka baharu untuk menerajui UMNO agar parti menjadi lebih baik membela nasib rakyat dan tidak lari dari dasar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN