Tiada pemotongan elektrik jika bil tertunggak kurang 6 bulan - Utusan Malaysia

Tiada pemotongan elektrik jika bil tertunggak kurang 6 bulan

pru15
SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua penyedia tenaga negara ini bersetuju agar tiada pemotongan bekalan elektrik dikenakan ke atas pelanggan kediaman yang ada tunggakan bil kurang enam bulan.

Persetujuan itu dicapai hasil rundingan antara Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) baru-baru ini.

Inisiatif terbaharu itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 7.4 juta pengguna domestik iaitu masing-masing 6.94 juta di Semenanjung dan lebih 500,000 pengguna domestik di Sabah.

“Ini ambil kira keperluan bagi bantu rakyat dalam suasana ekonomi mencabar berikutan impak berpanjangan pandemik Covid-19,” jelas menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai sesi perhimpunan bulanan bersama warga kementerian tersebut yang turut dihadiri timbalannya, Ali Biju di sini hari.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, inisiatif khas ini hanya melibatkan pengguna yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak kira berapa amaun bil mereka.

“Katakanlah terlewat bayar hampir enam bulan setakat bil semasa bulan ini, maka TNB dan SESB tidak akan buat pemotongan bermula 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan,” katanya.

Sebaliknya ujar beliau, pengguna terbabit akan diberi kemudahan pembayaran bil secara ansuran selama tempoh enam bulan yang turut bermula 1 Januari hingga 30 Jun depan.

Bagaimanapun kata beliau, pengguna kediaman yang ada tunggakan lebih daripada tempoh enam bulan pula diminta berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk elak pemotongan.

“Mereka mungkin boleh dipertimbangkan untuk diberi pelan pembayaran ansuran tertentu mengikut kes kerana setiap pengguna domestik berbeza masalahnya,” tegas Shamsul Anuar.

Beliau namun tidak mendedahkan jumlah perlu ditanggung oleh TNB dan SESB untuk tujuan inisiatif itu serta bilangan pengguna yang ada rekod tunggakan hutang sehingga enam bulan.

Langkah kali ini jelas beliau,sebagai susulan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Bantuan Prihatin Elektrik yang telah dilaksanakan dari April hingga Jun lalu.

“Ketika itu, inisiatif dibuat ini untuk tolong mengurangkan bil elektrik pengguna kediaman ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal Cobvid-19,” katanya.

Setakat 31 Oktober lalu ujarnya, manfaat diskaun bil elektrik sehingga RM231 selama tiga bulan itu, telah dinikmati oleh 7.66 juta pengguna terlibat dengan peruntukan RM1.9 bilion. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya