Tiada kes pedofilia dilaporkan - Utusan Malaysia

Tiada kes pedofilia dilaporkan

JULI EDO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang laporan kes pedofilia dalam kalangan masyarakat ber­kenaan.

Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Juli Edo berkata, menerusi siasatan pegawainya yang bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang menjalankan program kesedaran di perkampungan Orang Asli, tiada laporan dibuat daripada penduduk kampung.

“Pegawai Jakoa daerah juga telah mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung atau Tok Batin serta penduduk kampung terlibat.

“Tiada aduan dikemukakan berkenaan kes pedofilia seperti yang didakwa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas dakwaan NGO, Helping Shoulder bahawa berlaku kes pedofilia dalam kalangan komuniti berkenaan selepas penganjuran kempen kesedaran pedofilia di Negeri Sembilan, Julai tahun lalu.

Presidennya, Lila Ruzaini Mohd. Hussin bagaimanapun berkata, pihaknya tiada maklumat terperinci atau data terkumpul berkenaan pedofilia membabitkan Orang Asli kerana kebanyakan kes tidak dilaporkan.

Beliau berkata ia berikutan kesedaran jenayah pedofilia di negara ini masih kurang malah menyifatkannya sebagai ‘tabu’ dalam kalangan masyarakat dan tidak wajar di­bincangkan secara terbuka.

Malah, secara keseluruhan kes yang berlaku di negara ini, ada yang menarik semula laporan berikutan konflik keluarga yang tidak mahu membesar-besarkan perkara tersebut sekali gus menyukarkan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Ketika ini, jumlah populasi penduduk Orang Asli dianggarkan terdapat 190,000 di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Juli berkata, sekiranya dakwaan itu benar, Jakoa tidak teragak-agak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kes tersebut berleluasa.

“Jakoa sentiasa memberi kerjasama penuh dengan mana-mana agensi kerajaan, NGO dan individu yang ingin melaksanakan aktiviti kesedaran mengenai pedofilia supaya masyarakat Orang Asli di seluruh negara lebih memahami keburukan pedofilia dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN