PASIR PUTEH: Seorang penagih sanggup terjun ke dalam parit selepas terserempak sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menjalankan Op Cegah di Kampung Lembah, Semerak, di sini semalam.
Bagaimanapun, tindakan untuk meloloskan diri itu gagal apabila lelaki berusia 48 tahun terbabit dicekup dalam keadaan badannya berlumuran lumpur.
Ketua Pegawai AADK daerah Pasir Puteh, Azlina Mohd. Zain berkata, hasil pemeriksaan badan lelaki tersebut, pihaknya menjumpai tujuh pil berwarna merah jambu disyaki pil kuda.
Katanya, Op Cegah dijalankan bermula pukul 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 3 petang dengan kekuatan 10 anggota AADK menahan tujuh penagih dadah di sekitar kampung berkenaan.
Menurutnya, selain menyerbu port atau lokasi melepaskan gian, rumah penagih yang dikenal pasti turut dijejaki.
“Kami menahan tujuh lelaki berusia 22 tahun hingga 57 tahun. Semuanya positif dadah Methamphetamine dipercayai kesan pengambilan pil kuda.
“Kesemua mereka dibawa ke pejabat AADK Pasir Puteh untuk siasatan lanjut selain menyelesaikan dokumentasi tangkapan,” katanya di sini hari ini.
Azlina berkata, enam kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (APD) (Rawatan & Pemulihan) 1983 manakala satu kes lagi adalah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19 tidak menghalang tugasan AADK dalam usaha membanteras kegiatan penagihan dadah.
“Maklumat orang ramai berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah sentiasa dialu-alukan untuk tindakan lanjut pihak kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










