IPOH: Kerajaan negeri yang baharu sukar dibentuk ekoran pendirian Pas yang tidak menyokong usaha tersebut.
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, itu akibatnya jika sesuatu keputusan dibuat atas kepentingan tertentu.
“Itulah kesannya jika sesuatu pihak hanya pentingkan maksud tertentu dalam membuat keputusan. Tindakan itu akhirnya tidak mendatangkan keuntungan kepada pihak lain dan akan menyukarkan penubuhan kerajaan negeri yang baharu.
“Saya harap kemelut ini dapat diselesaikan segera dan harap semua rakyat bersabar,” katanya selepas menghadap sembah Sultan Perak bagi memaklumkan situasi semasa negeri di Istana Kinta di sini, semalam.
Dalam satu kenyataan semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak.
Katanya, keputusan itu selaras dengan tindakan tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyokong usul percaya terhadap Ahmad Faizal.
Begitupun, Ahmad Faizal berharap supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri Perak tidak berpecah.
Beliau berkata, ini kerana melihat kepada kerjasama PN yang berlangsung di peringkat Pusat masih kekal.
“Pada saya kerajaan PN di Pusat masih bersama jadi saya minta PN di Perak juga tak berpecah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menegaskan masih lagi memegang jawatan Menteri Besar sehingga pelantikan baharu dibuat.
Beliau berkata, kerajaan negeri sementara juga meneruskan semua program yang sudah dirancang kecuali yang membabitkan dasar dan keputusan besar.
“Saya berkesempatan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan saya telah pun sembah maklum tentang apa yang berlaku dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pagi tadi (semalam).
“Saya telah sembah maklum tentang keadaan saya yang telah kehilangan majoriti dan tentunya Tuanku Sultan perlu buat beberapa pertemuan sehingga satu keputusan untuk memilih seorang daripada kalangan ahli Dewan yang mempunyai majoriti secukupnya untuk membentuk kerajaan,” katanya. -UTUSAN










