Satu jam baca 43 pertuduhan rasuah  - Utusan Malaysia

Satu jam baca 43 pertuduhan rasuah 

NOOR Azlin Jaafar (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 43 pertuduhan mendapatkan suapan RM32,751.20 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai perangkawan di Jabatan Perangkaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 43 pertuduhan mendapatkan suapan berjumlah RM32,751.20 berkaitan projek pembekalan kontrak dan meluluskan elaun perjalanan dalam negeri kakitangan, tahun lalu.

Tertuduh, Noor Azlin Jaafar, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan selama hampir satu jam oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan pegawai gred E44 di Seksyen Perkhidmatan dan Kewangan, Jabatan Perangkaan Selangor didakwa atas lima pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM18,731.20 dengan mengarahkan salah seorang kakitangan menyediakan sebut harga berkaitan projek pembekalan kontrak kepada tiga buah syarikat yang mana salah sebuahnya milik saudara lelakinya.

Antara projek pembekalan kontrak itu ialah percetakan dokumen soal selidik, perkhidmatan mereka bentuk dan mencetak borang perdagangan.

Ibu tunggal kepada dua anak kembar berusia 10 tahun itu turut didakwa atas 38 pertuduhan mendapatkan suapan RM14,020 bagi meluluskan elaun perjalanan dalam negeri membabitkan lima kakitangannya berusia 31 tahun hingga 40 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Selangor antara 21 Mac hingga 9 Disember tahun lalu.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang masih bekerja di jabatan tersebut didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan wang jaminan bagi kesemua pertuduhan RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri minggu pertama setiap awal bulan di pejabat SPRM negeri.

Sementara itu, peguam, P.G. Cyril mewakili tertuduh memohon ikat jamin terhadap anak guamnya dikurangkan berikutan pendapatan anak guamnya sebanyak RM6,000 sebulan dan perlu menyara dua anak kembarnya berikutan bercerai dengan suaminya selain menanggung ibu bapanya.

Hakim Rozilah kemudian menetapkan wang jaminan bagi kesemua pertuduhan RM50,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia selain membenarkan syarat tambahan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Januari ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya