Pendapatan pemandu van sekolah terjejas 80 peratus - Utusan Malaysia

Pendapatan pemandu van sekolah terjejas 80 peratus

SHAMSIAH Shamsuri (kanan) dan Hasni Hamid (kiri) antara pemandu van sekolah di Pulau Pinang yang terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemandu van sekolah di negeri ini semakin dibelenggu tekanan dengan nasib dihadapi mereka ketika sesi persekolahan dibuka tahun depan termasuk bakal berdepan tindakan muflis dan risiko penarikan semula kenderaan itu oleh pihak bank.

Mereka bimbang dengan pengurangan jumlah pelajar yang mahu mendapatkan perkhidmatan van sekolah selain kekangan menjelaskan yuran bulanan.

Lebih memeritkan, sebahagian besar daripada mereka kini terpaksa mengikat perut selain berusaha mencari pendapatan sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup berikutan penutupan sekolah akibat penularan Covid-19 sejak awal November lalu.

Seorang pemandu van sekolah di daerah Barat Daya, Shamsiah Shamsuri, 48, berkata, kehidupannya dan suami, Rosli Jusoh, 52, yang juga pemandu van sekolah hanya bergantung kepada hasil pendapatan sampingan RM500 sebulan sebagai pengedar kek dalam talian.

Menurutnya, mereka mencari pendapatan lain bagi menyara kehidupan harian yang terjejas 80 peratus kerana tidak lagi dapat membawa van sekolah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

“Kami resah mengenangkan nasib yang bakal dihadapi tahun depan kerana tempoh moratorium bagi ansuran pembiayaan pembelian van sekolah baharu bernilai RM1,800 berakhir hujung tahun ini.

“Kami jenuh memikirkan bagaimana cara untuk menjelaskan semula ansuran terbabit bermula Januari ini memandangkan keadaan pandemik yang belum berakhir termasuk kegagalan ibu bapa melunaskan yuran bulanan,” katanya semalam.

Psangan itu antara 50 pemandu van sekolah di negeri ini yang menerima bantuan barangan keperluan asas menerusi Program Penyampaian Bantuan Kepada Pemandu Van Sekolah Yang Terjejas Pendapatan Akibat COVID19 anjuran Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang, di sini.

Seorang lagi pemandu van, Hasni Hamid, 48, berharap kerajaan negeri dan Pusat dapat menyalurkan bantuan tambahan kepada golongan pemandu van serta bas sekolah di negara ini.

“Selain perlu menjelaskan hutang bank, kami juga terpaksa mengeluarkan duit simpanan untuk menyelenggara kenderaan sebelum sesi persekolahan 2021 bermula Januari ini.

“Saya tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung dengan yuran bulanan ibu bapa pelajar. Disebabkan situasi yang berlaku, pendapatan sejak 20 tahun lalu kini terjejas teruk dari RM5,000 kepada RM1,200 sebulan.

“Saya kini terpaksa bekerja sambilan memandu van kilang dengan bayaran gaji harian sekitar RM30 hingga RM40. Itupun sekadar menggantikan pemandu van yang bercuti,” kata bu kepada tiga cahaya mata itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN