Keluarga Adib harap janji dikota - Utusan Malaysia

Keluarga Adib harap janji dikota

MOHD. Kassim Abdul Hamid dan Asma Aziz ketika ditemui di rumah mereka di Tebengau Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim berharap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengotakan janjinya untuk mencari penjenayah yang menyebabkan kematiannya, dua tahun lepas.

Bapanya, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, jaminan Zuraida itu harus diberi tindakan segera apatah lagi beliau juga pernah berjanji untuk menyelesaikan kes itu, dua tahun lepas.

“Pada 17 Disember ini genap dua tahun arwah ‘pergi’ dan memang kami masih mengharap. Jika Zuraida memberi jaminan itu semalam, kami berharap beliau mengotakan janjinya. Sebagai menteri, beliau ada kuasa. Kami mak ayahnya masih menunggu.

“Sebenarnya kami sudah tawar hati dengan beliau sebelum ini, namun jika benar itu janjinya kami berharap beliau tidak berkata demikian semata-mata menjawab soalan atau tekanan dan selepas itu tiada apa-apa tindakan,” katanya ketika ditemui di Tebengau Kuala Kedah, di sini semalam.

Zuraida ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian di Dewan Rakyat semalam, memberi jaminan kes kematian anggota bomba itu diselesaikan.

Katanya, kes terbabit masih dalam siasatan polis walaupun keputusan inkues sebelum ini mengesahkan wujud unsur jenayah dalam kematian arwah Muhammad Adib.

Kata Mohd. Kassim, sebagai bapa, dia dan isterinya, Asma Aziz, 52, menaruh harapan tinggi agar kematian anak mereka itu terbela walaupun ia mungkin mengambil masa.

“Sebelum mata kami terpejam, itulah yang kami harapkan. Dalam setiap doa itulah yang kami ucapkan.

“Memang kami reda dengan kematiannya tetapi kami ingin melihat mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Asma, situasi yang dilalui mereka sekeluarga menyedihkan apabila kematian Allahyarham seolah-olah dilupakan.

“Sayu dan sedih bila teringat arwah. Sebab itu gambar dan barang-barang arwah kami simpan, tak sanggup nak tengok dah.

“Orang mungkin akan lupa tentang Adib tetapi kami tidak akan lupa dan itulah yang selalu kami doakan harap ada keajaiban untuk arwah,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN