JOHOR BAHRU: Kelahiran ‘ustaz segera’ daripada program realiti berkonsepkan dakwah perlu dikawal dan diselia bagi mengelakkan agama Islam dipandang negatif jika kumpulan tersebut terpalit dengan kontroversi.
Sehubungan itu, perlu ada satu garis panduan penganjuran program realiti agama tersebut bagi menapis kelahiran ‘ustaz-ustaz segera’ berkenaan.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, penganjuran program seumpama itu perlu dipantau bagi memastikan pendakwah dilahirkan benar-benar berkualiti selain boleh menonjolkan contoh terbaik.
Menurut beliau, selama ini ramai yang muncul menerusi program realiti tiada asas pendidikan agama hingga melahirkan personaliti gagal menepati akhlak sebagai agamawan.
“Perlu ada garis panduan melalui perbincangan antara autoriti agama dan penerbit rancangan untuk memastikan peserta terlibat benar-benar ada asas agama yang kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, beberapa pendakwah selebriti dihimpit kontroversi dengan terbaharu pendakwah berusia 25 tahun yang didakwa menggunakan kapasitinya sebagai da’i untuk mencabul dan merogol mangsa-mangsanya.
Menurut Yahya, jika perkara itu gagal ditangani, ia boleh meninggalkan imej negatif kepada agama Islam itu sendiri.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, program-program realiti berkonsepkan dakwah perlu dinilai semula agar matlamat mencari pendakwah sebenar tercapai.
Menurut beliau, peserta program perlu dipilih bukan hanya berdasarkan kepada kepetahan berucap dan kebolehan berhujah semata-mata.
“Mereka juga mesti dalam kalangan baik budi pekerti, warak dan menunjukkan sifat-sifat terpuji di dalam pergaulan dengan anggota keluarga dan rakan,” katanya.
Beliau berkata, sifat-sifat mulia seseorang calon program boleh diketahui dengan cara menemu bual ahli-ahli keluarga, ahli-ahli masyarakat setempat, rakan sekerja dan sebagainya.
Selain itu, jelas Wan Salim, akhlak yang baik adalah salah satu syarat utama bagi seorang pendakwah kerana tanpanya seseorang tidak layak berkecimpung di dalam lapangan yang mulia tersebut.
Sementara itu, seorang ulama, Idris Yaakob berkata, program realiti berbentuk keagamaan jika hanya bertujuan meraih populariti tidak patut diadakan kerana ia memadai dengan institut pendidikan untuk melahirkan golongan pendakwah.
Kata Mudir Maahad Tahfiz Al- Bayan itu, lebih banyak kesan buruk apabila terdapat dalam kalangan pendakwah daripada rancangan itu terpalit dengan pelbagai isu sekali gus menjejaskan persepsi masyarakat terhadap pendakwah.
“Hendak lahirkan pendakwah ini bukan mudah kerana ia perlu melalui proses panjang dengan ilmu, amal selain proses didikan daripada murabbi sebelum memegang amanah besar ini. Pendakwah perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat.
“Jangan disebabkan ‘nila setitik rosak susu sebelanga’ dan dalam masa sama, orang ramai yang menghukum juga perlu berlaku adil,” katanya. – UTUSAN










