SAJIAN buah dan sayur-sayuran pada bahagian depan, manakala menu protein dan karbohidrat bahagian belakang kaunter bufet makanan.
Idea ditampilkan Kumpulan 7 ini muncul juara pertandingan Sweet Spot Malaysia, acara Digital Hackathon Belia untuk Diabetes.
Kejuaraan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM5,000.
Pertandingan memerlukan curahan idea menangani diabetes dalam bentuk rekabina kesihatan atau Architecting Health.
Ketua Kumpulan 7, Nurfarhani Irfan Nor Azmi berkata, idea menterjemahkan bagaimana individu membuat pilihan lebih sihat dalam pengambilan makanan.
“Kami turut menampilkan idea memaparkan maklumat kandungan kalori. Malah kemudahan pancuran air minum untuk kegunaan pelajar juga antara pendedahan mengenai aspek minuman air kosong,” katanya.

– Gambar hiasan
Pertandingan itu mengkehendaki setiap kumpulan menampilkan idea menangani masalah penghidap diabetes yang semakin bertambah.
Penyelesaian inovatif dibangunkan itu tidak terhad kepada dasar, kempen dan juga rancangan perniagaan.
Antara jurinya ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong, Ketua Sanofi Malaysia dan Thailand merangkap Pengurus Besar Perubatan Am Malaysia, Singapura dan Thailand, Marine Queniart-Stojanovi dan Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Datuk Dr. Zanariah Hussein.
Golongan Muda
Kata Nurfarhani, mereka menumpukan golongan muda iaitu pelajar kerana merekalah sebenarnya penentu tabiat pemakanan, seterusnya mencorakkan gaya hidup generasi akan datang.
“Pelaksanaan idea ini praktikal, berdaya maju dan tidak berat sebelah. Menerusi perbualan dengan pelajar lain, kami sedar mereka mahu terlibat sama dalam merangka penyelesaian, seterusnya mendorong kami melaksanakan idea ini dengan bantuan mereka.
“Cadangan kami tidak sukar dijayakan. Ia mampu meningkatkan pengambilan makanan sihat dalam kalangan pelajar,” katanya.

Acara anjuran Sanofi itu mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan, Arus Academy dan Undi 18 yang melibatkan 50 peserta akhir bagi keseluruhan 10 kumpulan dalam kalangan pelajar. Ia berlangsung menerusi aplikasi Zoom.
Turut serta dalam sesi itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Nurfarhani berkata, hackathon adalah satu bentuk rangsangan baik bagi menggalakkan perbincangan mengenai isu diabetes dalam kalangan orang muda.
Sementara itu, tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kumpulan 10 dan Kumpulan 1. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM1,000.
Kumpulan 10 tampil dengan idea ‘Gula Sebalik Batu’ diketuai oleh Arieyfah Mohammad Rafiq Muban. Kumpulan itu menekankan dua kategori penting iaitu, acara Daylight Diabetes dan aplikasi NutriFye.
Kumpulan 1 diketuai Wan Jo Yi pula membentangkan idea penyelesaian aplikasi di MyDiabetes @MySejahtera yang memfokuskan golongan pesara dan warga emas.
Aplikasi itu berfungsi sebagai hab maklumat untuk semua perkara berkaitan diabetes. Ia mengandungi ciri interaktif seperti membuat janji temu, jadual saringan, kuiz dan tawaran ganjaran kepada mereka yang menggunakan MyDiabetes @MySejahtera.
Hackathon ruang belia curah idea
Sweet Spot Malaysia, Digital Hackathon Belia pertama kali diadakan sempena Hari Diabetes Sedunia oleh Sanofi, syarikat farmaseutikal global yang memberi tumpuan terhadap kesihatan.
Ketua Unit Diabetes, Sanofi Malaysia, Thailand dan Singapura, Christine Chong berkata, acara dianjurkan itu bertujuan memenuhi permintaan perkhidmatan penjagaan kesihatan bermanfaat kepada hampir empat juta rakyat Malaysia menderita kerana diabetes.
“Acara hackathon yang diperkenalkan tahun ini adalah untuk menggalakkan belia mencetuskan idea baharu bagi menyelesaikan cabaran menangani diabetes di Malaysia. Ini merupakan hackathon pertama dianjurkan dalam arena diabetes melibatkan remaja.
“Kami percaya, dengan melengkapkan para belia berumur antara 18 dan 30 tahun melalui pendedahan pemikiran dan sokongan reka bentuk relevan, mereka akan bertindak sebagai ejen perubahan dalam kesihatan awam berhubung diabetes,” katanya.
Christine berkata, pasukan menang berpeluang mengemukakan idea mereka ke Kementerian Kesihatan untuk dilaksanakan pada skala kebangsaan.
Tambahnya, acara hackhaton ini tidak terhad kepada programmer dan belia daripada pelbagai latar belakang pendidikan, sebaliknya golongan profesional turut dialu-alukan menyertai usaha menyelesaikan masalah diabetes di negara ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Feisul Mustapha berkata, diabetes bukan baharu bagi rakyat Malaysia bagaimanapun beban diabetes terus meningkat.
“Kita perlu melakukan lebih lagi terutama dalam meningkatkan kefahaman terhadap pencegahan diabetes. Sweet Spot Malaysia ialah inisiatif yang ideal dan berpandangan jauh yang membolehkan anak muda berganding bahu dan merumuskan rancangan penyelesaikan masalah ini.
“Acara ini membolehkan golongan muda memainkan peranan merangka penyelesaian kreatif. Peserta menghadapi pelbagai halangan apabila membangunkan penyelesaian, daripada faktor sosioekonomi kepada tahap ilmu kesihatan yang rendah.
“Pertandingan ini ternyata berjaya kerana kami dapat melihat idea ditampilkan,” katanya.
Dianggarkan 3.9 juta orang dewasa menghidap diabetes, iaitu kira-kira satu dalam lima golongan ini di Malaysia.
Berlaku peningkatan kadar penghidap daripada 13.4 peratus kepada 18.3 peratus dalam tempoh empat tahun dan angka ini dijangka akan meningkat kepada 21 peratus menjelang 2020.










