Dari jual kuih, Mariyah kini miliki empayar RM8 juta - Utusan Malaysia

Dari jual kuih, Mariyah kini miliki empayar RM8 juta

MARIYAH Yaakob (dua dari kanan) bersama Saiful Bujang (kanan) di hadapan Mariyah Holdings Sdn. Bhd., Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pernah menjual kuih-muih dengan membawa bakul dari rumah ke rumah, kini memiliki empayar perniagaan dengan aset berjumlah RM8 juta.

Begitu kejayaan seorang usahawan wanita, Mariyah Yaakob, 44, yang membina peniagaan pakaian dengan hanya berbekalkan modal RM1,000 dan tanpa pinjaman daripada institusi kewangan.

Pengarah Mariyah Holding itu berkata, dia mula terlibat menjalankan perniagaan menjahit pakaian di sebuah kedai dua tingkat di Taman Perling pada 2016 dan untuk permulaan menggunakan 12 mesin jahit.

“Selepas tempahan pakaian mula meningkat dan kemudian mendapat keuntungan, saya menggunakan hasil itu untuk membeli sebuah kilang di Skudai berjumlah RM3.6 juta di samping membeli 400 mesin jahit untuk menampung permintaan.

“Alhamdulillah sepertimana peribahasa sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dengan keazaman dan usaha akhirnya perniagaan Mariyah Holding ini bermula dengan modal permulaan RM1,000 kini mengumpul jumlah aset sebanyak RM8 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Mariyah berkata, sejak usia tujuh tahun, dia melalui pelbagai liku-liku pengalaman melakukan banyak jenis peniagaan seperti menjual kuih, produk kosmetik dan makanan yang turut menemukan kegagalan.

Katanya, perlu memikirkan untuk membesarkan tujuh anak-anaknya, dia perlu tabah untuk mencipta kejayaan dalam perniagaan dengan dibantu bimbingan suaminya, Saiful Bujang, 47.

“Boleh dikatakan, saya telah melalui 1,001 kegagalan termasuk ditipu dan rugi. Namun kita tidak perlu menjadikannya sebagai alasan untuk tidak terus mara ke depan.

“Saya pernah bawa bakul kuih untuk jual ke rumah-rumah dan ini menjadikan saya lebih matang malah memahami selok-belok pahit getir untuk berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Mariyah memberitahu, dia kini berusaha mewujudkan Akademi Mariyah untuk melahirkan lebih ramai usahawan khususnya dalam kalangan ibu tunggal dan golongan terkesan Covid-19.

Ujarnya, pada setiap Jumaat dia menyalurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada golongan kesempitan hidup di seluruh Johor dan kini menjadi rutin mingguan sejak Mariah Holding berjaya.

“Insya-Allah pada tahun depan saya akan mengambil 200 pekerja dalam kalangan ibu tunggal dan pelajar tempatan untuk melakukan kerja-kerja menjahit baju,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN