PUTRAJAYA: Bukan sahaja fakta perlu diperbetulkan, malahan tafsiran sejarah tanah air juga wajar disemak semula agar ia melaporkan ‘cerita’ dari sudut pandang negara kita sendiri.
Dari sudut kita sendiri tidak bermaksud sengaja memesongkan sejarah mengikut kepentingan tertentu tetapi bersandarkan kepada bukti sahih.
Demikianlah tegas Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican.
Namun, beliau yang terkenal lantang mengkritik pelbagai isu sejarah tempatan yang diputar belit ramai sejarawan Barat itu menjelaskan, bukanlah mahu menidakkan laporan penjajah tetapi apa dimuat dalam buku teks dan buku sejarah lain, naratif sejarah negara mestilah dalam konteks yang sepatutnya.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia berhubung isu misteri kehadiran Tok Bahaman dan Mat Kilau di Persidangan Raja-Raja Melayu pertama yang didakwa sebagai tidak tepat.
Perkara tersebut didedahkan oleh Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Aripin Said selain turut diakui sendiri pakar sejarah tempatan ternama, Prof. Dr. Ramlah Adam.
Menjelaskan lanjut, Ahmad Murad dalam nada kehairanan berkata, adalah tidak masuk akal legenda pahlawan Melayu terkenal dijemput penjajah British menyertai persidangan tersebut.
“Apatah lagi, sejarah mencatatkan mereka orang buruan pihak kolonial dan jika hadir, tentu telah lama ditangkap polis Inggeris yang menunggu di pintu istana,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan membuat sebarang spekulasi kenapa ada penulis sejarah cuba menokok tambah fakta tidak logik itu termasuk kemungkinan wujud agenda tersirat tertentu.
Ahmad Murad menambah, proses tafsiran sejarah sentiasa berterusan disemak semula dan beliau bimbang ada pihak tertentu ambil kesempatan memutar belit mengikut agenda mereka.
Sementara itu, pakar sejarah, Datuk Dr. Awang Sariyan bersetuju supaya fakta sejarah dalam buku-buku yang ditulis sarjana barat diteliti semula bagi memastikan tiada percanggahan.
‘Cerita sejarah dari sudut kita’
“Saya setuju kajian untuk mensahihkan fakta sejarah penting supaya sejarah tanah air menepati hakikat sebenar. Memang tanggungjawab ahli sejarah melakukan kajian sama ada untuk memperoleh fakta yang tersembunyi atau menilai kesahihan sesuatu fakta sejarah.
“Sejarah ialah rakaman yang benar tentang peristiwa, tokoh dan tarikh, bukan cerita rakyat dan bukan juga cereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, usah terlalu seronok umum perihal sejarah yang ditulis sarjana barat kerana mereka tidak memberi penerangan secara terperinci dan kadang-kadang mungkin rujukan tidak menggunakan buku yang sama.
“Jika ada fakta bercanggah, kita harus teliti semula bahan bacaan tersebut, dapatkan muka surat yang mempunyai perbezaan fakta itu supaya dapat dibincangkan semula,” katanya. -UTUSAN








