Bahasa Melayu `senjata' diplomasi - Utusan Malaysia

Bahasa Melayu `senjata’ diplomasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era globalisasi, diplomasi satu-satunya ka­edah memastikan sistem tata kelola global berjalan lancar.
Bagi kebanyakan negara blok Barat, produk utama diplomasi yang dipaksikan ke atas negara lain adalah ‘demokrasi’, hak asasi serta idea-idea bersifat liberal dan terbuka.
Bagi blok lain pula, khususnya Rusia, China serta sekutu, model diplomasi mereka bukan menggunakan idea ‘demokrasi ala Barat’, yang lazimnya membawa kemusnahan. Sebaliknya, mereka memberi tumpuan kepada langkah mempromosikan dialog antara negara.
Menariknya, dalam konteks tanah air, seorang tokoh memilih ‘produk’ diplomasi yang unik untuk dijadikan model bagi memperkasa hubungan antara dua negara. Produk yang dimaksudkan adalah bahasa Melayu.
Beliau ialah Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Za’aba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ikuti temu bual Mingguan Malaysia bersama beliau, yang mengupas peranan bahasa Melayu sebagai ‘senjata diplomasi’.

Mingguan Malaysia: Boleh cerita perkembangan terkini Prof.?
Perjuangan saya dari zaman mahasiswa adalah untuk mengangkat peradaban negara yang berteraskan peradaban Melayu.
Sesudah tamat tempoh sebagai Ketua Pengarah DBP pada 2016, saya dilantik sekali lagi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di China. Itu adalah kali kedua saya menyandangnya, kali pertama adalah pada 2008 hingga 2011.
Dari situ, saya dapat menyambung gerakan untuk mengembangkan bahasa, sastera dan peradaban Melayu di China.
Alhamdulillah, daripada hanya beberapa universiti, kini sudah ada sekitar 15 universiti di China yang menawarkan program Ijazah Bahasa Melayu, bukan sekadar kursus bahasa Melayu. Program itu mengambil masa empat tahun, sama dengan universiti kita.
Ini perkembangan yang amat penting kerana China menuju kuasa utama ekonomi dunia, dan kini mereka sudah mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa asing yang penting.

Sejauh mana China mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa asing yang penting?
Dalam dasar China, boleh dilihat Kementerian Luar dan Kementerian Pendidikan mereka mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa asing yang penting.
Ini jelas melalui pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-China terutama dalam bidang pendidikan serta promosi bahasa Melayu di negara itu.
Sejak 1996, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama dengan Menteri Pendidikan China telah merasmikan Pusat Pengajian Melayu-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU). Ini adalah pengiktirafan kepada bahasa Melayu, kerana universiti itu dilantik sebagai pangkalan atau pusat pengembangan bahasa Melayu di China.
Pada 2014, Timbalan Perdana Menteri waktu itu, yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan dua watikah khas.
Pertama, watikah kepada BFSU sebagai pusat dan juga pangkalan pengembangan bahasa Melayu di China. Kemudian ada beberapa universiti lain (di China) yang diberi watikah sebagai pusat yang membantu BFSU mengembangkan bahasa Melayu. Maka sejak itu, bertambah jumlah universiti di China yang menawarkan program ijazah bahasa Melayu.
Antaranya, di Beijing ada beberapa universiti yang terbabit dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu. Di wilayah lain iaitu Tianjin, yang juga kota pelabuhan utama di China, sejak 2004 saya mengadakan promosi memperkenalkan bahasa Melayu dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Universiti Tianjin. Alhamdulillah, pada 2014 diwujudkan jurusan bahasa Melayu di sana.
Begitu juga di Guangdong, ada universiti di bandar Guangzhou yang turut mena­warkan program ijazah bahasa Melayu. Di Nanning juga, iaitu ibu negeri wilayah Guangxi, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi atau Guangxi University for Nationalities yang menampung puluhan etnik, juga menawarkan ijazah bahasa Melayu. Sejak 2008, saya bertugas di Beijing dan diundang universiti berkenaan sebagai penilai program ijazah bahasa Melayu.

Apa signifikan bahasa ini kepada aspek diplomasi, ekonomi dan geopolitik China?
Saya pernah bertanya kepada presiden universiti tempat saya bertugas di sana, mengapa China berminat memperkenalkan bahasa asing, termasuk bahasa Melayu.
Katanya, bahasa satu-satu negara bangsa dapat menjadi jendela untuk mengenal tamadun bangsa itu. Ini termasuk sistem undang-undang, sistem politik, ekonomi, kesenian, sejarah serta agama sesebuah negara. China tidak berminat menjadi kuasa tentera atau politik seperti Amerika Syarikat.
Sebaliknya, fokus kerajaan China adalah untuk menjadi kuasa ekonomi dunia.
Jadi, katanya, mereka memanfaatkan pengetahuan dan hubungan diplomasi yang baik dengan negara asing. Pada masa sama, hanya dengan mengenali bahasa dan kebudayaan sesuatu tamadun itu, maka China dapat meneroka peluang-peluang ekonomi. Kini melalui Inisiatif Jalur dan Laluan atau Inisiatif Laluan Sutera, China dapat menembusi lebih 100 negara dunia dalam bidang ekonomi.

Dalam konteks setempat pula, kita kini dihambat Covid-19. Sebagai tokoh yang memperjuangkan kumpulan sasterawan dan karyawan, apakah senario terkini nasib mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi akibat pandemik ini?
Covid-19 memang ada kesan negatif kepada sasterawan dan karyawan tanah air. Tapi kalau dilihat dari sudut tertentu, kita dapati wabak itu juga memberikan peluang untuk kita lebih mendalami sisi lain kumpulan ini.
Selepas Covid-19 melanda, kita dapat banyak maklum balas bahawa ramai dalam kalangan mereka sebenarnya sejak dahulu sering kali terumbang-ambing dan kurang dinaungi.
Jadi, pandemik ini membuka ruang untuk kita menyedari bahawa kumpulan ini perlu diperkasa dan dibantu.

Apakah langkah diambil untuk membantu golongan ini?
DBP dicadangkan dilantik sebagai badan penaung, dan menggalas tanggungjawab mendaftarkan karyawan, penggiat sastera serta anggota penerbitan dan percetakan.
Jadi selepas ini, kalau berlaku musibah seperti Covid-19, maka kumpulan ini ada tempat bergantung. DBP mungkin boleh memikirkan kaedah tertentu, sama ada berikan sumbangan, atau rujuk mereka kepada agensi bertanggungjawab.
Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, kerajaan ambil langkah salurkan bantuan secara inklusif termasuk kepada sasterawan dan karyawan.
Pada masa sama, DBP akan berusaha merincikan lagi sebarang bentuk mekanisme bagi pastikan kumpulan ini terbela. Insya-Allah, DBP akan memang­gil persatuan karyawan, penerbit serta penulis dan daftarkan mereka di bawah satu organisasi pemudahcara. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya