Koperasi perlu beri sumbangan kepada ekonomi negara

Koperasi perlu beri sumbangan kepada ekonomi negara

SUMBANGAN sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dilihat masih rendah iaitu sekitar dua hingga tiga peratus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERAKAN koperasi di Malaysia kini telah menjangkau usia 103 tahun. Ia bukan lagi entiti ekonomi pinggiran, tetapi telah berkembang menjadi enjin sokongan penting kepada pembangunan negara.

Dari asalnya hanya berfungsi sebagai memberi pinjaman kepada ahli, koperasi kini sudah melangkah jauh, terlibat dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, hartanah, pelancongan, pertanian, teknologi dan perkhidmatan digital. Evolusi ini berlaku hasil kerjasama erat antara pihak kerajaan, ahli akademik dan gerakan koperasi di Malaysia.

Tokoh koperasi negara, Profesor Diraja Ungku Aziz mendefinisikan koperasi sebagai “satu kaedah menguruskan kegiatan ekonomi dengan cara tolong-menolong, bergotong royong atau bekerja bersama-sama demi manfaat bersama”.

Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) bukan sekadar acara tahunan, ia adalah wadah pengukuhan gerakan koperasi secara besar-besaran.

Sebanyak 20 program telah dijadualkan sepanjang BKK 2025 dan sambutan kemuncak HKN 2025 pada 25 hingga 27 Julai di Melaka.

Masyarakat disaran untuk hadir bagi mengetahui dengan lebih mendalam tentang peranan dan fungsi serta agensi-agensi berkaitan kerajaan yang terlibat dalam memperkasakan gerakan koperasi di Malaysia.

BKK bukan sahaja menampilkan pameran, jualan dan perkongsian ilmu, tetapi menjadi platform koperasi menjalin jaringan, mempromosi produk dan memperkukuh kedudukan dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Koperasi hari ini tidak boleh bergantung kepada pendekatan lama. Era baharu menuntut adaptasi teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital, analitik data dan automasi.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 16,284 koperasi yang didaftarkan dengan jumlah keanggotaan mencecah seramai 7.2 juta orang.

Jumlah saham terkumpul direkodkan sebanyak RM18 bilion, manakala jumlah perolehan pula RM68.1 bilion dan jumlah keseluruhan aset yang direkodkan adalah RM173.3 Bilion.

Namun begitu, sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dilihat masih rendah iaitu sekitar dua hingga tiga peratus.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang mempergiat usaha menerusi Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030) dan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) bagi meningkatkan sumbangan koperasi kepada RM100 bilion menjelang 2030.

Penganjuran BKK menjadi platform dalam mempromosikan produk serta perkhidmatan yang disediakan oleh gerakan koperasi di negara ini.

BKK dan HKN adalah satu mekanisma efektif bagi menghubungkan antara koperasi dengan masyarakat sama ada dari dalam mahu pun luar negara, malah menjadi platform memperluas perniagaan koperasi dan membina jaringan strategik.

Semua pihak wajar merebut peluang yang ditawarkan melalui BKK dan HKN 2025 untuk memperkukuh jaringan kerjasama, memperluas pasaran dan melonjakkan gerakan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat yang mampan dan inklusif. – UTUSAN

AFNAN HASIM
Institut Koperasi Malaysia (IKMa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×