KUANTAN: Buku A Century Conference of Rulers 1897-1997 yang menceritakan tentang kehadiran Tok Gajah, Tok Bahaman dan Mat Kilau dalam Persidangan Raja-raja Melayu (Durbar) pertama di Istana Negara Kuala Kangsar, Perak yang berlangsung pada Julai 1897 masih menjadi rujukan sehingga kini.
Pada muka surat sembilan buku tulisan Datuk Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid itu terpampang gambar Durbar pertama yang bertarikh 13 hingga 17 Julai 1897 dengan keterangan wujudnya gambar tiga tokoh berkenaan.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, buku catatan sejarah Durbar pertama negara itu kini tersimpan di perpustakaan Istana Negara, perpustakaan negeri, Arkib Negara, universiti dan sekolah-sekolah di seluruh negara.
Beliau berkata, penulis buku tersebut, Nik Abdul Rashid sendiri sudah mengaku di hadapan beliau berhubung kesilapan itu dan meminta beliau membetulkan fakta tersebut.
“Saya bersyukur Utusan Malaysia menjadi wadah untuk menyiarkan catatan sebenar sejarah negara sekaligus memenuhi amanat penulis asal yang mengakui kekhilafan fakta,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia menyiarkan tentang permintaan Aripin yang mahu fakta sejarah tempatan berhubung kehadiran Tok Bahaman dan Mat Kilau pada Durbar pertama di Istana Negara Kuala Kangsar, Perak pada Julai 1897 diperbetulkan kerana didakwa tidak tepat.
Jelasnya, selaku pewaris pembesar Istana Pahang, Tok Jebek dan pengkaji sejarah lain termasuk beliau sendiri yang membuat kajian ilmiah di Muzium British, London pada 1978 dan 1989 menemukan beberapa fakta bercanggah dengan apa yang diuar-uarkan dalam buku sejarah dan jurnal-jurnal tempatan.
Pakar sejarah, Profesor Dr. Ramlah Adam juga berkata, tidak mungkin ada penglibatan Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Bahaman dalam Durbar pertama kerana tiga pahlawan itu menentang Residen British, Hugh Clifford selepas Sultan Pahang pertama, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah menerima kehadirannya pada 1888.
Mengulas lanjut, Aripin berkata, kekhilafan yang berlaku telah mempengaruhi persepsi masyarakat termasuk para ilmuan dan cendekiawan yang tidak menyedarinya.
“Kebenaran fakta sejarah perlu segera diperbetulkan melalui sumber yang sahih dan merujuk individu berintegriti kerana ‘masa tidak menunggu kita’,” ujarnya. – UTUSAN







