KUANTAN: Sarjana tempatan perlu memainkan peranan untuk membetulkan perspektif sejarah negara kerana banyak fakta yang diputarbelitkan secara halus.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, kerajaan sewajarnya menubuhkan sebuah pasukan khas dalam kalangan pakar sejarah negara bagi melaksanakan usaha tersebut.
“Memang banyak sejarah kita diputarbelitkan dengan cara halus. Mereka yang patriotik dikatakan penderhaka. Mereka setia pada raja tetapi dikatakan menderhaka kepada raja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas fakta sejarah tempatan yang salah dilaporkan tentang kehadiran Tok Gajah, Tok Bahaman dan Mat Kilau dalam Persidangan Raja-raja Melayu (Durbar) pertama di Istana Negara Kuala Kangsar, Perak pada Julai 1897.
Aripin berkata, berhubung buku ‘A Century Conference of Rulers 1897-1997’, kesilapan hanya pada senarai nama kehadiran majlis itu sahaja.
“Nama Mat Kilau, Tok Bahaman dan Tok Gajah dimasukkan dalam keterangan gambar. Pada hal mereka tidak ada,” katanya.
Jelasnya, penulis buku itu, Datuk Nik Abdul Rashid Nik Abdul Majid sama seperti sarjana sejarah tempatan lain yang sukar untuk mendapatkan keterangan gambar.
“Ini merupakan warna tempatan dalam penulisan sejarah. Fakta yang lain semua betul. Nik Abdul Rashid atau dikenali sebagai Pak Nik seorang yang arif dalam bidang undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, warna tempatan boleh didapati pada cerita waris, tokoh-tokoh lama di kampung yang tahu tentang cerita sebenar.
“Ini termasuk dalam kalangan kerabat Pahang. Orang besar berempat dan lapan sangat maklum dalam hal ini. Mereka sudah tidak ada lagi dan kalau ada hanya pewaris yang lain. Termasuk di Lipis, Jerantut, Chenor, Bohor dan Pekan.
“Frank Swettenham, Richard Olaf Winstedt, J. M. Gullick dan Graham Linehan serta sarjana lain menulis berdasarkan fail Inggeris. Kecuali Swettenham, Winstedt mereka turun padang mendapatkan bahan. Tetapi mereka menulis mengikut pandangan sendiri.
“Bagaimanapun tulisan mereka menjadi panduan kepada kita. Terima kasih kepada sarjana barat. Swettenham misalnya turut mengambil gambar tokoh, peristiwa tertentu masa itu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kebanyakan sarjana barat menulis tidak habis ceritanya, yang tidak menyebelahi diabaikan mereka.
“Bagaimanapun sekarang perspektif sejarah negara banyak dibetulkan oleh sarjana kita. Sejarah kita wajah kita. Mereka antaranya Prof. Dr. Ramlah Adam, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dan mendiang Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim,” katanya. – UTUSAN










