ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah enggan mendedahkan jumlah kerusi mahu ditandinginya di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah berkata, beliau tidak mahu mendedahkan jumlahnya kerana gabungan Perikatan Nasional (PN) belum dipastikan sama ada kekal sehingga PRU-15 termasuk pda peringkat nasional.
“Sehingga kini, kita masih ada dua pilihan. Sama ada mengharungi PRU-15 bersama Pas sahaja atau turut melibatkan UMNO. Perkara tersebut belum jelas termasuk peringkat Persekutuan.
“Kita tunggu keputusan kepemimpinan tertinggi. Kita tak mahu kelihatan tamak atau agresif. Hanya apabila tiba masanya, insya-Allah kita mohon sebanyak yang boleh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim mendedahkan hasrat parti itu untuk mendapatkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu parlimen.
Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris pula menyatakan hasrat parti berkenaan mendapatkan dua kerusi parlimen dan lapan DUN di negeri tersebut.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, dalam membuat tuntutan kerusi, Bersatu Kedah bertindak rasional bagi memastikan strategi dibuat mendatangkan kemenangan untuk semua.
“Tak guna kalau kita beria-ia mahu bertanding tetapi kalah. Untuk itu, kita bersikap rasional dalam soal pengagihan kerusi. Kita akan dapatkan pandangan ketua-ketua bahagian mengenai kekuatan di kawasan masing-masing.
“Kekuatan Bersatu di Kedah saya sifatkan sebagai gergasi yang sedang tidur. Kita mungkin tampak senyap tetapi kekuatan itu memang ada,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak melatah dengan perkara menimpa timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Perak jelas menunjukkan betapa Bersatu memiliki kepemimpinan yang memberi tumpuan kepada aspek penyatuan ummah.
“Jelas dalam isu ini, kita lebih mengutamakan rakyat dari soal kedudukan mahu pun pangkat,” katanya. – UTUSAN










