Pembahagian 5 kerusi di Perak diramal sukar - Utusan Malaysia

Pembahagian 5 kerusi di Perak diramal sukar

Mampukah Menteri Besar Perak yang baharu, Saarani Mohamad menangani soal pembahagian kerusi antara UMNO, Bersatu dalam PRU-15?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA berpegang pada pengumuman UMNO yang tetap akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun penyandangnya melompat parti, jelas pembahagian lima kerusi di Perak untuk PRU-15, tampak sukar.

Ia melibatkan tiga kerusi Parlimen iaitu Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Manik dan Tualang Sekah.

Kesemua lima kerusi berkenaan dimenangi UMNO dalam PRU-14 namun kesemua wakil rakyatnya kini menyertai Bersatu.

Apa yang menjadi cabaran ialah bagaimana UMNO mahu menuntut kesemua kerusi berkenaan apabila ada kerusi berkenaan milik figura besar dalam Bersatu peringkat pusat dan negeri.

Kerusi paling getir buat UMNO sudah tentunya Parlimen Larut, yang kini disandang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung Bersatu yang juga Menteri Dalam Negeri.

Apatah lagi difahamkan walaupun menyertai Bersatu daripada UMNO, hubungan Hamzah dan UMNO bahagian tetap baik, bagaimanapun ahli akar umbi UMNO bahagian itu tetap berpegang kerusi Larut milik UMNO.

Kerusi Parlimen Bagan Serai juga perlu dirundingkan secara berhemah jika mahu menjadi milik UMNO.

Kerusi itu dimenangi UMNO dalam PRU-14 menerusi Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang dilantik Timbalan Menteri Kesihatan.

Khidmat Noor Azmi kepada masyarakat setempat menerusi pelbagai program tidak boleh diketepikan begitu saja.

Bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang, UMNO bahagian berkenaan bertegas mahukan kerusi berkenaan setelah penyandangnya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyertai Bersatu.

Malah Utusan Malaysia difahamkan UMNO bahagian berkenaan juga telah menamakan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Azhari Abdul Aziz sebagai calon Parlimen Bukit Gantang dalam PRU-15.

Namun dalam masa sama, Syed Abu Hussin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dilihat mahu kekal di kerusi berkenaan menerusi pelbagai program bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan terutama sejak kebelakangan ini.

Untuk kerusi DUN Sungai Manik, UMNO juga berdepan cabaran untuk kembali bertanding di situ yang kini disandang Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, apatah lagi Zainol kini dilantik exco kanan dalam kerajaan negeri di bawah menteri besar yang baharu, Datuk Saarani Mohamad.

Satu lagi kerusi DUN yang dilihat mencabar buat UMNO ialah DUN Tualang Sekah, dalam Parlimen Kampar, yang kini disandang Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, yang menyertai Bersatu ketika pembentukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14.

Nolee Ashilin merupakan adik ipar kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Bersatu Perak.

Beliau juga merupakan wakil rakyat yang amat berpengaruh di kawasannya memandangkan beliau merupakan anak kepada ahli politik veteran, Datuk Radzi Manan.

Radzi yang merupakan bekas ketua UMNO Bahagian Kampar dan bekas exco kerajaan negeri merupakan pemimpin politik amat berpengaruh di Kampar.

Nolee Ashilin juga merupakan exco dalam kerajaan negeri di bawah bekas dua Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Ahmad Faizal dan kembali dilantik exco di bawah Saarani.

Walaupun semua memiliki pengaruh namun kurang dari segi kekuatan jentera parti di peringkat bahagian sebaliknya masih bergantung kepada jentera UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN