WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memantau laporan mengenai kes disyaki wabak paru-paru di Russia selepas kematian seorang pekerja makmal berusia 28 tahun di wilayah Irkutsk, Siberia.
Susulan itu, ratusan individu yang pernah berhubung dengan pekerja tersebut telah dikuarantin.
Seorang jurucakap Jabatan Negara AS, berkata, pemantauan itu dilakukan selepas pihaknya mengetahui tentang laporan wabak paru-paru berlaku di wilayah tersebut.
“Kami memantau keadaan itu dengan teliti bersama CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS) dan rakan kongsi antara agensi kami yang lain,” katanya kepada laman berita RFE/RL kelmarin.
Jabatan Negara AS menggesa pihak berkuasa Russia supaya berkongsi maklumat yang tepat dengan cepat dan secara terbuka, Ia menyatakan bahawa wabak itu boleh dirawat dengan antibiotik yang lazim digunakan, khususnya jika rawatan dimulakan pada peringkat awal.
Jurucakap Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS turut mengesahkan bahawa CDC bekerjasama dengan Jabatan Negara Amerika.
Rumah Putih turut memantau perkembangan dan langkah kuarantin yang dilaksanakan Russia.
Ketika ini tiada penerbangan komersial terus antara AS dan Russia, manakala Washington belum mengumumkan sebarang sekatan perjalanan tambahan berhubung kes yang disyaki itu.
Kes berkenaan melibatkan Darya Shipilova, 28, seorang juruteknik makmal di Institut Antiwabak Irkutsk.
Portal berita bebas Siberia, Lyudi Baikala melaporkan bahawa Shipilova secara tidak sengaja memecahkan tabung uji yang mengandungi bakteria wabak paru-paru pada 25 September ketika bekerja di institut berkenaan.
Menurut laporan itu, dia kemudian jatuh sakit teruk dan meninggal dunia pada 2 Oktober.
Wabak itu disebabkan bakteria Yersinia pestis yang biasanya beredar dalam kalangan tikus liar dan kutu.
Ia boleh menjejaskan paru-paru dan boleh merebak dari seorang ke seorang melalui titisan pernafasan ketika berhubung rapat.
Bagaimanapun, pengawas perlindungan pengguna Russia, Rospotrebnadzor, menafikan bahawa seorang pekerja di sebuah institut itu meninggal dunia akibat wabak tersebut. – AGENSI











