TANJUNG MALIM: “Hanya sempat nasihat supaya berhati-hati menaiki motosikal.”
Bapa kepada wanita yang maut bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 363.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Sungkai semalam, sempat berpesan agar pasangan itu berhati-hati menaiki motosikal untuk meneruskan perjalanan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang, Norwahidah Ahmad, 34, yang cedera parah, maut dalam perjalanan ke hospital, manakala suaminya, Mohamad Nazrul Ismail, 41, rentung selepas skuter jenis Yamaha Xmax ditunggang mereka terbakar setelah bertembung sebuah kereta jenis Toyota Altis.
Menurut Ahmad Putih, 71, Norwahidah yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang ke kampung di Kampung Terap, Kulim, Kedah pada Sabtu lalu.
Katanya, pasangan suami isteri itu biasanya pulang ke kampung menaiki kereta dan kepulangan mereka dengan menunggang motosikal adalah pertama kali dilakukan.
“Mereka tidak beritahu mahu balik kampung, tiba-tiba sahaja muncul di rumah dalam pukul 1 tengah hari. Kami makan tengah hari bersama dan ibu Norwahidah juga sempat masak lauk ayam yang merupakan hidangan kegemarannya.
“Mereka tidak tidur di kampung kerana mahu meneruskan perjalanan ke Batu Kurau iaitu rumah bapa saudara Nazrul dan bermalam di sana. Sebelum bertolak pulang, saya berpesan supaya mereka berhati-hati di jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Slim River di sini semalam.
Menurut Ahmad, dia amat terkejut apabila dimaklumkan nahas menimpa satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu namun reda dengan apa yang berlaku.
Katanya, sebagai anak bongsu dan perempuan tunggal, Norwahidah amat rapat dan manja dengannya termasuk ahli keluarga lain.
“Tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan mereka namun semasa mahu balik, mereka tidak menoleh langsung ke arah kami. Itu kali terakhir saya melihat mereka dan apa yang berlaku ini amat menyedihkan kami sekeluarga,” katanya.
Ahmad memberitahu, sebelum melawatnya, anak dan menantunya itu bermalam di Kampung Permatang Tiga Ringgit di Kepala Batas, Pulau Pinang pada hari Jumaat selain berjumpa anak lelaki mereka berusia 15 tahun yang tinggal bersama bapa saudara di Seberang Jaya.
Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan di Kampung Permatang Tiga Ringgit di Kepala Batas, Pulau Pinang. -UTUSAN ONLINE










