KUALA LUMPUR: Sebanyak 301 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes membabitkan pengubahan wang haram dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga November lalu.
Antara kes pengubahan wang haram yang disiasat ialah penipuan, jenayah pecah amanah, kongsi gelap dan perjudian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, dalam tempoh sama, PDRM turut menyita dan membekukan harta dianggarkan bernilai hampir RM1.8 bilion.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 bilion harta dibekukan dan disita pada 2019 manakala RM 345.7 juta awal tahun ini sehingga November lalu.
Jelasnya, kesemua penyitaan dan pembekuan harta tersebut dilakukan susulan pelbagai kes yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 termasuk siasatan kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Pada 2019, sebanyak RM274.90 juta harta dibekukan terdiri daripada akaun bank bernilai RM175.18 juta, kenderaan (RM7.3 juta) serta hartanah (RM92.38 juta).
“Bagi tahun ini pula, sebanyak RM219.08 juta harta dibekukan membabitkan akaun bank bernilai RM203.08 juta, kenderaan (RM7.6 juta) dan hartanah (RM8.3 juta),” katanya dalam satu wawancara di pejabatnya di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zainuddin memberitahu, tindakan penyitaan turut dilakukan pihaknya dalam tempoh sama apabila sebanyak RM1.22 bilion dibekukan pada 2019 dan sejumlah RM126.62 juta tahun ini.
Jelas beliau, tahun lalu, penyitaan tersebut membabitkan akaun bank bernilai RM442.53 juta, kenderaan (RM8.3 juta) dan hartanah (RM77.72 juta).
Turut disita pada tahun sama, kata beliau, adalah wang tunai bernilai RM117.03 juta, cek bank (RM2.5 juta) dan lain-lain sitaan bernilai RM577.27 juta yang mana sebahagian penyitaan harta adalah melibatkan 1MDB.
“Tahun ini pula, sebanyak RM126.62 juta harta terdiri daripada akaun bank (RM93.64 juta), kenderaan (RM9.02 juta), hartanah (RM17.87 juta), wang tunai (RM3.6 juta), cek bank (RM20.4 juta) dan saham bernilai RM116.54 juta disita.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi sesuatu kes yang disiasat menerusi Akta pengubahan Wang Haram (AMLA), tindakan pendakwaan terhadap penjenayah dilakukan di mahkamah.
Jelasnya, dalam proses tersebut, tindakan melucuthakkan harta yang diperoleh daripada aktiviti haram dilakukan kepada kerajaan atau pelepasan semula harta kepada pihak ketiga iaitu mangsa yang menuntut hak ke atas harta terbabit.
Kata beliau, segala proses melucut hak atau pelepasan semula harta itu dilakukan menerusi proses perbicaraan di mahkamah.
“Bagi tahun ini sehingga November lalu, kita mendakwa 10 kes di mahkamah bagi kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
“Kesemua kes masih lagi di peringkat perbicaraa, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, dalam tempoh dua tahun itu juga, kata Zainuddin, sebanyak 27 kertas siasatan sudah didaftarkan untuk tindakan pelucutanhakan harta dengan harta berjumlah RM59.42 juta dilucuthak tahun lalu.
Sejumlah RM25.58 juta lagi harta dilucuthak melalui proses mahkamah pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE










