TPM: UMNO jangan dilihat terlalu mendesak - Utusan Malaysia

TPM: UMNO jangan dilihat terlalu mendesak

P. SIVAMURUGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan hanya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung calon pilihan jika jawatan itu mahu diwujudkan semula.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar sosiologi dan politik, Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, malah, jawatan berkenaan juga tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kepemimpinan UMNO wajar membincangkan isu tersebut secara tertutup supaya ia tidak dilihat mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, katanya, kedudukan TPM juga boleh dipertimbangkan untuk membantu kerajaan dan parti masing-masing demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Perdana Menteri boleh mempertimbangkan siapakah yang layak dan pada masa sama isu itu boleh berbincang secara tertutup.

“Keutamaan adalah memastikan regu yang akan bersama beliau bagi berhadapan pesaing politik dan PRU-15,” katanya di sini hari ini.

Semalam, dalam temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Jelas Ismail Sabri, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini selain tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan anggota UMNO tidak mendesak Perdana Menteri untuk mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, kuasa pelantikan TPM, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, sememangnya sejak awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac lalu, isu kedudukan UMNO dalam Kabinet timbul kerana dilihat berat sebelah.

Katanya, walaupun UMNO pernah menafikan tuntutan jawatan TPM itu, namun dengan pandangan Ismail Sabri itu bermakna parti itu masih lagi belum selesai dalam isu berkenaan,

“Tambahan pula Ismail Sabri memang menjadi antara calon utama TPM selain Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Dari segi kekuatan parti dalam kerajaan, sememangnya UMNO layak diberikan jawatan TPM. Akan tetapi, calon UMNO itu mestilah seorang yang berwibawa dan bersih. UMNO perlu berani letakkan calon yang sesuai bukan sekadar untuk mengisi kuota,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya