KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan hidroelektriknya sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd (TPGSB), Datuk Nor Azman Mufti berkata, selain itu, TNB juga melakukan pemeriksaan di semua stesen janakuasa syarikat berkenaan.
“TNB juga bersedia menjalankan latihan dan ujian tahap ketersediaan bersama agenis-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan banjir.
“Selain menjana tenaga hijau kepada negara, empangan-empangan ini turut berfungsi sebagai sistem tebatan banjir yang mengelak daripada berlakunya bencana lebih buruk terutama di kawasan hilir sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TPGSB merupakan anak syarikat milik TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aspek-aspek penjanaan elektrik milik TNB termasuklah empangan-empangan hidroelektrik TNB di Tasik Kenyir, Terengganu, Cameron Highlands, Pahang dan Sungai Perak, Perak.
Beliau berkata, sebelum musim tengkujuh, paras air empangan diturunkan melalui pelepasan terkawal bagi membolehkan empangan menakung jumlah air hujan yang bakal meningkat.
“Dengan ini, tiada keperluan untuk melepaskan air empangan secara mendadak ketika musim tengkujuh sehingga boleh menyebabkan bencana lebih besar di hilir sungai,” katanya. – UTUSAN ONLINE