Terkandas dua minggu, nelayan Indonesia dihantar pulang - Utusan Malaysia

Terkandas dua minggu, nelayan Indonesia dihantar pulang

BOT nelayan Indonesia yang terkandas di perairan negara sejak dua minggu lalu dihantar pulang pihak Maritim Malaysia di Lumut, Perak.. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sebuah bot nelayan Indonesia yang ditemukan hanyut dan terkandas hampir dua minggu di perairan negara selepas mengalami masalah enjin, dihantar pulang ke perairan negara jiran itu semalam.

Kapal Maritim (KM) Malawali diberi tugas melaksanakan tanggungjawab sosial itu dengan membantu mengiringi bot nelayan bersama lima kru tersebut ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot tersebut terkandas di perairan Malaysia pada 17 November lalu berikutan kerosakan enjin dan ditambat di Jeti Awam Damar Laut dengan kebenaran Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Laut dan Pejabat Daerah Lumut.

“Bot berkenaan ditemukan sebuah bot nelayan tempatan dan ditarik sehingga ke perairan Pulau Pangkor sebelum dilaporkan kepada PGM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, katanya, kesemua lima kru warga Indonesia itu dibawa ke klinik kesihatan bagi menjalani saringan Covid-19 dan disahkan negatif, kemudian mereka disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum dikuarantin sementara menunggu bot mereka dibaiki.

Menurutnya, bot tersebut selesai dibaiki pada 27 November dan semalam KM Malawali diatur gerak untuk mengiring bot berkenaan keluar dari sempadan Malaysia-Indonesia.

Ujarnya, dalam memperkasa Op Benteng, aset-aset Maritim Malaysia Perak terus meningkatkan rondaan dan pengawasan terutama di lokasi panas berhampiran sempadan maritim Malaysia dengan negara jiran.

Katanya, ia bertujuan menyekat pendatang asing tanpa izin (PATI) dan bot-bot nelayan asing daripada terus menceroboh dan memasuki Perak walaupun berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu pada hujung tahun.

“Komuniti maritim diminta bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan pencerobohan nelayan-nelayan asing, PATI serta lain-lain kegiatan jenayah yang dikesan berlaku dalam perairan Perak kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau National Task Force di talian 011-6251 1123,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya