BATU PAHAT: Suspek kes bunuh peniaga tauhu bakar di Yong Peng, dekat sini yang juga bekas suaminya dikatakan sering menganggu mangsa termasuk meminta wang.
Anak mangsa, Nur Albaniah Harun, 24, berkata, ibunya, Halizam Hamzah, 43, selalu mengadu tentang perbuatan suspek sering meminta duit dan mengacaunya termasuk ingin kembali rujuk.
Katanya, suspek adalah bapa tirinya dan bercerai dengan ibunya bulan lalu.
“Suspek memberi tekanan kepada emak dengan membuat kacau di tempatnya berniaga tauhu bakar.
“Saya berharap pembunuh emak menerima hukuman setimpal dengan perbuatannya. Hubungan kami dengan suspek yang juga ayah tiri memang tidak rapat,” katanya ketika ditemui di Taman Selatan Yong Peng semalam.
Suspek berusia 42 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan wanita berkenaan.
Kelmarin, polis menemukan satu mayat dipercayai wanita itu di satu kawasan perumahan di sini.
Nur Albaniah berkata, sepanjang 11 tahun perkahwinan dengan suspek, ibunya melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjadi tukang cuci di beberapa tempat dalam sehari.
Sementara itu, dia memberitahu, majlis sambutan hari jadi cucu mangsa, Muhammad Aryan Robel, 2, semalam bertukar menjadi majlis tahlil.
“Sepatutnya emak pulang ke rumah pukul 8 malam kelmarin tetapi sehingga pukul 1 pagi kelibatnya tidak muncul menyebabkan kami adik beradik keluar mencarinya di sekitar Yong Peng termasuk di warung tauhu bakar tempatnya bekerja.
“Tetapi emak tidak dapat dijumpai dan nombor telefonnya juga tidak dapat dihubungi sebelum ibu saudara memaklumkan kami tentang penemuan mayat itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










