KERAJAAN Sabah mengambil inisiatif membantu usahawan dan peniaga yang terjejas akibat Covid-19 untuk memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini termasuk membantu melatih mereka menguasai bidang pemasaran digital secara online.
Katanya, setakat ini, pihak kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Industri dan agensi di bawahnya telah dan sedang bekerjasama dengan beberapa pihak swasta di Sabah untuk memasarkan produk-produk Industri Kecil Sederhana (IKS )Sabah secara e-dagang ke pasaran tempatan Sabah, Semenanjung dan juga ke peringkat global.
“Ini termasuk melalui platform e-dagang dengan kerjasama Persatuan Usahawan Digital Industri Kecil Sabah (PERDIKS) yang bertujuan memasarkan produk-produk keluaran IKS Sabah melalui Epasar Sabah dan online Shopee Malaysia.
“Kerjasama lain antara pihak kementerian ini dan agensi di bawahnya adalah dengan pihak swasta untuk memasarkan produk-produk Sabah melalui platform BorneoKaki dan ShopDirect. Applikasi BorneoKaki juga boleh dimuat-turun di Google Playstore,” katanya dalam kenyataan.
Joachim yang juga Menteri Pembangunan Industri berkata, bagi membiasakan pada peniaga dan usahawan ini dengan suasana perniagaan norma baharu ini, pihaknya turut menganjurkan kursus-kursus pemasaran online melalui media sosial untuk usahawan.
Selain itu, katanya, pihak Kementerian juga menganjurkan kursus Sistem Digital Perakaunan bagi IKS memacu transformasi digital di Sabah.
“Selari dengan tuntutan semasa, latihan anjuran SEDCO melalui Sedcovest Holdings Sdn Bhd turut menerapkan pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan.
“Sepanjang 2019-2020, sebanyak 10 kursus berkaitan perniagaan atas talian dianjurkan melibatkan seramai 232 peserta. Modul-modul yang dilaksanakan termasuk pemasaran era digital, Facebook advertising, serta Facebook and Instagram for Business.
“Untuk 2021, sebanyak empat kursus lagi akan dianjurkan meliputi modul Graphic Design, website design, copywriting dan online marketing.
“Pihak kementerian akan membangunkan platform market place untuk memasarkan produk-produk IKS Sabah dan juga hasil-hasil keluaran produk mikro dan cottage atau lebih dikenali sebagai produk keluaran dari rumah.
Katanya, platform yang lengkap dengan sistem applikasi tempahan dan pembayaran sedang disiapkan hujung bulan ini dan akan dilancarkan pada tidak lama lagi .
Katanya, applikasi itu dikenali sebagai GoNet terdapat satu seksyen yang dinamakan GoBiz yang dibangunkan oleh kementeriannya untuk memasarkan produk-produk dan perkhidmatan keluaran Sabah secara percuma.
“Pihak Kementerian juga akan terus berkolaborasi dengan pihak swasta untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk Sabah di platform-platform marketplace yang telah diusahakan oleh pihak swasta seperti platform Tamuku dan My Borneoshop.
“Selain itu, Sedcovest juga sedang bekerjasama dengan sebuah pembangun aplikasi perniagaan atas talian dari Sabah bagi memasar & melaksanakan transaksi produk-produk tempatan melalui platform maya yang berfungsi sama seperti Lazada dan Shopee,” katanya.
Melalui kerjasama itu katanya, sejumlah 2,000 usahawan di bawah SEDCO dijangka menggunakan platform berkenaan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
“Kerajaan negeri sedang dalam proses membangunkan satu portal usahawan untuk menyenaraikan semua usahawan di negeri Sabah dan portal tersebut akan mempunyai maklumat-maklumat terperinci usahawan di Sabah.
“Portal ini akan dapat digunakan oleh semua kementerian dan agensi yang mempunyai program pembangunan usahawan.
“Apabila portal ini siap dibangunkan pada tahun hadapan, ia akan diletakkan di bawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Perindustrian,” katanya. – UTUSAN










