RAUB: Penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi rakyat tetapi memberi kesan emosi kepada kanak-kanak yang terpaksa berjauhan dengan ibu bapa mereka.
Bagi pengurus sebuah syarikat penyelenggaraan hartanah di Sarawak, tempoh lebih dua bulan tidak dapat berjumpa anak dan isteri yang berada di daerah ini meruntun jiwa serta hatinya.
Raja Azukri Raja Adam, 44, yang bertugas di Kuching berkata, hanya panggilan video dapat mengubat kerinduan kepada keluarganya termasuk anak bongsu yang berusia empat tahun.
“Setiap hari saya membuat panggilan. Pada pukul 6.30 pagi semalam, anak saya membuat panggilan video kerana katanya malam tadi anak bongsu bermimpi berjumpa papa.
“Sebelum ini setiap minggu saya balik dan kejutkan dia waktu malam tetapi kali ini sudah lebih dua bulan tidak dapat berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Raja Azukri berkata, kali terakhir dia dapat balik ke kampungnya di Temau bertemu anak dan isterinya adalah pada 30 September lalu.
Katanya, ketika ini urusan harian termasuk persekolahan tujuh anaknya yang berusia empat taun hingga 18 tahun diuruskan isteri.
Jika hendak balik ke kampung, menurutnya, dia perlu menjalani ujian saringan dan perlu dikuarantin selama 14 hari apabila pulang ke Sarawak.
Katanya, keadaan ini bukan sahaja memerlukan kos membuat saringan tetapi menyebabkan tekanan perasaan apabila perlu dikuarantin selama 14 hari.
“Pada masa ini Kuching masih lagi zon merah dan saya berharap wabak Covid-19 beransur reda membolehkan saya pulang bertemu keluarga,” katanya. -UTUSAN ONLINE










