PN stabil jika TPM diberi kepada UMNO - Utusan Malaysia

PN stabil jika TPM diberi kepada UMNO

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahu atau tidak, Perikatan Nasional (PN) perlu mempertimbangkan pelantikan pemimpin UMNO ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya ia dapat meredakan keadaan dan memperkukuhkan kerajaan Persekutuan.

Mengulas perkara itu, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berpendapat, walaupun Kabinet yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dilihat sudah cukup ‘besar’, sesuatu perlu dilakukan bagi mengimbangi kehendak sekutu besar seperti UMNO.

“Analoginya serupa ketika Presiden Pas dilantik Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri. Entiti utama PN iaitu Bersatu, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing puas.

“Cuma UMNO agak terkilan kerana sokongan ahli Parlimen terbanyak dirasai tidak dihargai. Sebab itu jika pelantikan Timbalan Perdana Menteri dapat meredakan keadaan dan perkukuh kerajaan PN, maka saya tidak nampak jadi isu besar ditambah satu lagi jawatan menteri dalam Kabinet,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.

KAMARUL AZMAN KHAMIS

 

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, UMNO adalah parti dominasi yang mempunyai ahli Parlimen paling ramai, namun tidak mendapat peranan sebaiknya dalam kerajaan.

“Memang menjadi keperluan seorang pemimpin daripada UMNO dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia juga bakal menjadi penanda aras sejauh mana kerajaan PN dapat diperkukuhkan selepas jawatan nombor dua negara itu diisi oleh kepemimpinan UMNO.

“Tidak mustahil, hubungan antara UMNO dan PN boleh diperkukuhkan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Semua sedia maklum UMNO adalah parti dominasi di dalam kerajaan yang boleh menjadi penentu jatuh atau sebaliknya kerajaan PN itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, jika Muhyiddin menolak untuk melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO mengisi jawatan berkenaan, Perdana Menteri masih mempunyai banyak pemimpin lain yang berkaliber.

Katanya, jika mengikut hierarki kepemimpinan UMNO selain Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO adalah calon paling layak mengisi jawatan nombor dua kerajaan itu.

“Selain Mohamad, Muhyiddin juga mempunyai pilihan lain seperti melantik Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri yang diketahui mempunyai pengalaman cukup luas dalam pentadbiran kerajaan malah beliau juga merupakan Menteri Kanan ketika ini.

“Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga antara yang layak dipertimbangkan mengisi jawatan tersebut (TPM). Apa yang pasti, sebaik-baiknya UMNO juga perlu diberi lebih peranan di dalam kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN