GEORGETOWN: Pekerja hotel di negeri ini kembali dilanda kerisauan mengenai nasib dan masa depan mereka berikutan pelaksanaan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.
Rata-rata mereka meluahkan rasa bimbang sekiranya diberhentikan kerja atau dipotong gaji oleh majikan masing-masing selepas banyak tempahan hotel oleh pengunjung dari luar negeri ini mula dibatalkan ekoran PKPB selama sebulan itu.
Seorang pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Zul, 30-an, berkata, hotel bertaraf lima bintang tempatnya bekerja di Persiaran Gurney di sini juga mula menerima impak selepas kira-kira 70 hingga 80 peratus tempahan hotel dibatalkan.
Malah, katanya, kemudahan seperti restoran dan bar di rangkaian hotel tempatnya bekerja juga terpaksa ditutup ekoran ketiadaan pelanggan manakala para pekerja dipindahkan ke hotel induk.
“Nasib kami kini ibarat telur di hujung tanduk, menunggu masa untuk rebah. Jika keadaan begini berterusan, tidak mustahil lebih ramai daripada pekerja hotel di negeri ini akan kehilangan pekerjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sektor pelancongan di negeri ini menerima impak paling besar ekoran pandemik Covid-19 dengan beberapa hotel termasuk bertaraf lima bintang ditutup bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Dalam pada itu, seorang pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Yanti, 20-an, berkata, hotel tempatnya bekerja di Batu Feringghi dekat sini juga berdepan kemungkinan sama ada ditutup atau dikurangkan pekerja ekoran kekurangan tetamu.
Katanya, dia juga ketika ini hanya berserah dan pasrah sekiranya dibuang kerja kerana memahami tekanan yang dialami majikannya apatah lagi hotel tempatnya bekerja baru dibuka awal tahun ini.
“Sekarang pun pekerja hotel di sini hanya mendapat gaji asas, tidak ada peluang untuk membuat kerja lebih masa kerana tidak ada tetamu.
“Saya tidak pasti berapa lama hotel ini mampu bertahan dalam keadaan tidak ada tempahan dan PKPB terbaharu sehingga bulan depan akan memburukkan lagi keadaan,” katanya. – UTUSAN










