KOTA BHARU: Sebarang penganjuran majlis perkahwinan, pertunangan dan resepsi tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Perkara itu ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan notis mengenainya dikeluarkan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jaheaik berkuat kuasa kelmarin sehingga 6 Disember ini.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jaheaik, Tengku Kamaruddin Tengku Alias berkata, selain itu, kursus praperkahwinan turut ditangguhkan dan perkhidmatan nasihat atau runding cara hanya dijalankan melalui secara dalam talian.
“Majlis akad nikah dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan syarat-syarat tertentu iaitu dijalankan di premis persendirian, masjid atau surau.
“Selain itu, majlis akad nikah hanya boleh dihadiri 20 individu termasuk seorang jurunikah, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali dan dua saksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tengku Kamaruddin, sebarang arahan atau keperluan terkini tertakluk kepada ketetapan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kelantan menjadi negeri terbaharu diletakkan di bawah penguatkuasaan PKPB bermula 21 November sehingga 6 Disember ini bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE










