Penduduk tidak sempat selamatkan harta-benda - Utusan Malaysia

Penduduk tidak sempat selamatkan harta-benda

MOHD. ARIFF Bidin (kiri) dan keluarga membersihkan rumah mereka selepas banjir kilat di Kampung Blok C Ampangan, Seremban surut, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Air yang naik begitu cepat menyebabkan banyak mang­sa banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Seremban tidak dapat menyelamatkan harta benda dan dokumen-dokumen penting.

Seorang kakitangan awam, Mohd. Ariff Bidin berkata, hujan sejak pukul 12.15 pagi dan air mula naik kira-kira sejam selepas itu di sekitar Kampung Blok C, Ampangan.

“Tiba-tiba sahaja air sudah sampai ke paras dada, memang tak dapat nak selamatkan harta benda lain, apa yang lebih pen­ting selamatkan nyawa.

“Mujur ada sebuah sampan di rumah ini, saya bawa emak, isteri, anak-anak dan adik beradik yang lain ke tempat yang lebih tinggi. Kira-kira 20 rumah di kawasan ini yang turut terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Ariff, pertembungan tiga batang sungai di kawasan berhampiran iaitu Sungai Linggi, Sungai Batang Benar dan Sungai Temiang Division berkemungkinan menyebabkan kawasan tersebut mudah dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.

“Lagipun hujan semalam berlaku di kawasan hulu, jadi air naik di kawasan ini, mungkin empangan juga penuh menyebabkan air terpaksa dilepaskan,” katanya.

Seorang mangsa banjir di Kampung Stesen, Kuala Sawah, Rantau, Ab Mutalib Sulaiman berkata, projek mendalam dan melebarkan sungai yang terletak berhampiran kampung tersebut mungkin antara punca air sungai cepat melimpah dan menjejaskan rumah penduduk.

“Projek tersebut sekejap berjalan, sekejap berhenti, kemudian apabila dilebarkan sungai, banyak pokok yang di tebing sungai yang sebelum ini menjadi penghalang dari air sungai melimpah turut habis dibuang.

“Banjir awal pagi ini (semalam) memang cepat berlaku, tak sempat nak buat apa-apa, banyak harta benda rosak malah ada kereta yang banyak tenggelam. Ini bukan kali pertama banjir berlaku di kawasan ini, tahun ini sahaja sudah tiga kali berlaku,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya