PUTRAJAYA: Selepas tular kisah kecacatan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Melinjau di Presint 11 awal bulan lalu, nasib hampir sama turut menimpa sebuah lagi PPAM.
Kali ini, melibatkan lebih 5,000 penghuni yang mendiami 1,680 unit kediaman PPAM Larai di Presint 6 yang berdepan masalah sejak diduduki sekitar 2017 walaupun sudah diajukan kepada pihak berwajib.
Malah, Pengerusi Persatuan Penduduk PPAM Larai, Yusoff Abdul Latiff berkata, pihak pemaju projek itu seolah-olah tidak ambil peduli mengenai permasalahan di situ.
“Mereka bukan sahaja tidak pernah jenguk turun padang, sebaliknya segala aduan diserahkan sahaja kepada pihak pengurusan hartanah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Yusoff mendakwa, masalah itu pernah dilaporkan kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) awal tahun ini tetapi tiada tindakan susulan diambil.
Bahkan selepas presiden pihak berkuasa tempatan itu, Datuk Dr. Aminuddin Hassim diganti Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain, 1 Oktober lalu, isu berkenaan masih lagi dibiarkan.
“Saya sendiri pernah bertemu dengan beliau dalam satu program baru-baru ini, namun, setakat ini belum ada lagi apa-apa perkembangan positif daripada pihak PPj,” katanya.
Beliau berkata, masalah paling teruk dialami penduduk terbabit antaranya lantai dibuat sama paras dengan koridor menyebabkan air mudah melimpah masuk ke rumah.
Masalah itu banyak berlaku di Blok 1 dan 2 manakala isu kebocoran lantai bilik air turut dilaporkan sehingga mengakibatkan jubin merekah, malah, air menitis pula di siling rumah di unit bawahnya. – UTUSAN










