KUALA LUMPUR: Perbincangan dengan beberapa institusi pembiayaan untuk menjayakan inisiatif pembangunan francais mikro dan francais mampu milik kini sedang diusahakan kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain industri francais untuk turut serta dalam inisiatif itu.
“Pembangunan ini adalah bagi golongan B40 dan M40, jadi selaras konsep francais untuk semua pembangunan francais perlu dilihat secara komprehensif dan bermanfaat kepada B40 dan M40.
“Pembangunan francais mikro dan francais mampu milik bukan hanya tertumpu kepada negeri Sarawak sahaja tetapi untuk seluruh Malaysia,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai pembangunan francais mikro dan mampu milik di Sarawak.
Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi program pembangunan francais mikro dan francais mampu milik serta beli barangan buatan Malaysia dalam Belanjawan 2021.
Dalam pada itu, Alexander memaklumkan, sehingga kini terdapat sembilan syarikat francaisor dari Sarawak yang memiliki 98 cawangan seluruh negara dengan 83 daripadanya beroperasi di Sarawak.
“Salah satu daripada jenama francais Sarawak iaitu Sugar Bun juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui 11 cawangan di luar negara iaitu sembilan di Brunei dan masing-masing sebuah di Australia serta Bangladesh,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










