PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermula 16 November ini hingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan pada 21 Oktober lalu bersetuju dengan cadangan Pelan Rekalibrasi PATI yang merangkumi dua komponen utama iaitu Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Beliau berkata, Program Rekalibrasi Pulang membenarkan PATI pulang ke negara asal secara sukarela tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan.
“Program Rekalibrasi Tenaga Kerja pula khas untuk membolehkan pekerja asing sedia ada di negara ini diambil bekerja secara sah oleh majikan.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat ketat yang diputuskan kerajaan melalui Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Pelan ini dilaksanakan oleh kedua-dua jabatan ini serta agensi-agensi kerajaan lain tanpa membabitkan vendor atau pihak ketiga,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hamzah, semua PATI dan majikan yang berhasrat menyertai Program Rekalibrasi Pulang atau Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi PATI perlu berurusan secara terus dengan dua jabatan berkenaan.
Beliau berkata, program itu tidak membabitkan kos kerajaan sebaliknya kerajaan dijangka memperoleh kutipan hasil sebanyak RM95 juta daripada kompaun serta bayaran-bayaran lain yang dikenakan terhadap PATI dan majikan menerusi pelan berkenaan.
Menerusi program itu, kata beliau, kementeriannya bersama Kementerian Sumber Manusia dapat mengumpulkan data dan taburan PATI di negara ini bagi tujuan penguatkuasaan menyeluruh.
“Program ini bagaimanapun tidak menggugat pasaran dan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri serta terjamin berdasarkan nisbah pekerja tempatan dan asing.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat tempatan bagi mengisi kekosongan tenaga kerja dalam semua sektor ekonomi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan menetapkan hanya majikan yang beroperasi dalam empat sektor dibenarkan untuk mengambil PATI sebagai pekerja iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian.
Pada masa sama, katanya, kedua-dua kementerian mengadakan sesi libat urus dengan pihak kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Asing serta pemain industri di Malaysia bagi menyampaikan maklumat tepat kepada PATI dan majikan tentang pelan ini.
Jelasnya lagi, satu Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI akan ditubuhkan dan ia diketuai oleh Ketua Setiausaha dua kementerian itu serta dianggotai Jabatan Imigresen, JTKSM dan beberapa agensi berkaitan.
“Mesyuarat pertama jawatan kuasa itu berlangsung pada 3 Disember ini. Jawatankuasa ini diwujudkan bagi membincangkan hal ehwal pekerja asing yang dipengerusikan bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia juga bermesyuarat setiap tiga bulan sekali,” katanya.
Bagi menyokong penuh dasar kerajaan untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam semua sektor ekonomi, beliau berkata, pembekuan kemasukan pekerja asing baharu ke Malaysia diteruskan.
Menurutnya lagi, sebaik sahaja program itu tamat pada 30 Jun tahun depan, Jabatan Imigresen melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.
“Sekiranya disabitkan bersalah, majikan yang didapati menggajikan PATI dikenakan hukuman maksimum iaitu denda sebanyak RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
“Bagi majikan yang menggajikan lebih daripada lima orang, majikan dikenakan hukuman sebat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










