Maritim Malaysia rampas ganja, ketum bernilai RM1.02 juta - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia rampas ganja, ketum bernilai RM1.02 juta

MOHD. Zawawi Abdullah (tengah) menunjukkan ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sindiket penyeludupan dadah dan ketum dipercayai menggunakan taktik pertukaran barang atau sistem barter di tengah laut bagi membawa masuk dan keluar barang terlarang tersebut di negara ini.

Pertukaran barang yang dipercayai turut melibatkan nelayan tempatan itu dikatakan menggunakan bot fiber tidak bernombor dan dikesan dilakukan ketika air laut surut dengan penyeludup dari negara ini dikatakan membekalkan ketum ke negara jiran manakala ganja dibekalkan ke negara ini.

Malah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Ma­ritim Malaysia) percaya, dalam rampasan melibatkan 300 kilogram ketulan ganja dianggarkan bernilai RM900,000 di dalam sebuah bot fiber di 2.7 batu nautika dari barat laut pantai Kuala Sanglang, di sini Ahad lalu menggunakan taktik sama.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat bagi mengenal pasti lokasi sebenar pertukaran barang dilakukan bagi membanteras aktiviti terbabit.

Katanya, rampasan pada pukul 4.20 pagi itu dilakukan semasa bot peronda Maritim Malaysia mendapat maklumat risikan berhubung kehadiran bot terbabit.

“Bot tersebut menukar haluan ke paya bakau selepas me­­­n­ye­dari kehadiran pihak berkuasa dan tekong bersama seorang awak-awak terjun daripada bot dengan berenang ke kawasan paya bakau sebelum meloloskan diri.

“Kita menemukan 17 bungkusan plastik hitam berisi ketulan disyaki ganja seberat 300 kilogram yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber serta enjin sangkut dianggarkan sebanyak RM910,000 dan ia adalah rampasan dadah terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya.

Sementara itu, Mohd. Zawawi berkata, serbuan kedua semalam pula membabitkan daum ketum yang cuba di­seludup ke negara jiran sebanyak 1,500 kilogram bernilai RM120,000 dirampas di 0.7 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis kira-kira pukul 12.15 pagi.

Menurutnya, daun ketum tersebut dibawa menggunakan bot fiber tidak bernombor yang bertindak memecut ke daratan apabila dikejar bot peronda Maritim Malaysia.

“Dua awak-awak melarikan diri dan hasil pemeriksaan kita menemukan 148 bungkusan berwarna merah disyaki daun ketum. Semua hasil rampasan, bot dan enjin sangkut dengan anggaran RM180,000 dibawa ke jeti Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN